Selangor bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM3.23 bilion

Amirudin (lima dari kanan) bergambar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Exco Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK), pada Jumaat.
Amirudin (lima dari kanan) bergambar bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Exco Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK), pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM3.23 bilion yang digerakkan melalui tema 'Selangor Juara, Rakyat Sejahtera' dengan penekanan khusus kepada peningkatan kesejahteraan rakyat, pendidikan dan perlindungan sosial.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM1.86 bilion atau 57.6 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus dikhaskan untuk perbelanjaan pembangunan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menggariskan enam tekad sebagai landasan Belanjawan 2026 meliputi pengukuhan hasil negeri dan peluang ekonomi rakyat, reformasi tadbir urus, kecemerlangan pendidikan, pembangunan seni budaya serta generasi muda, Selangor sebagai negeri penyayang dan usaha memperkukuh kelestarian alam serta infrastruktur.

"Kerajaan negeri mengunjurkan hasil sebanyak RM2.8 bilion dengan premium tanah menjadi penyumbang utama iaitu RM1.02 bilion atau 36.3 peratus pada tahun depan.

"Cukai tanah pula dijangka menyumbang RM691.27 juta (24.7 peratus) manakala pemberian Persekutuan dianggarkan sebanyak RM263.16 juta (9.4 peratus)," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di sini, pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, dengan perbandingan anggaran hasil RM2.8 bilion dan perbelanjaan RM3.23 bilion, Belanjawan 2026 dijangka mengalami defisit RM430 juta.

"Namun defisit ini akan ditampung sepenuhnya melalui baki Akaun Hasil Disatukan,” katanya.

Bagi komponen perbelanjaan mengurus, Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri memperuntukkan RM651.28 juta bagi emolumen, RM739.7 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM22.48 juta (aset), RM426.75 juta (pemberian dan bayaran tetap) serta RM19.79 juta bagi perbelanjaan lain.

Beliau memberitahu, perkhidmatan dan bekalan merupakan komponen terbesar iaitu 39.8 peratus yang antaranya melibatkan pelaksanaan fasa kedua Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), bayaran kontrak selaras gaji minimum RM1,700, penyelenggaraan 26 jabatan, Balai Penghulu di sembilan daerah, utiliti, elaun guru KAFA serta sewaan bangunan kerajaan termasuk Ibu Pejabat dan sembilan Mahkamah Rendah Syariah.

Artikel Berkaitan:

Amirudin memaklumkan, peruntukan pembangunan sebanyak RM1.37 bilion pada tahun depan menunjukkan peningkatan RM70 juta berbanding tahun sebelumnya bersamaan kenaikan 5.4 peratus.

"Tahun depan juga menyaksikan tumpuan yang lebih besar kepada sektor sosial dengan peruntukan RM360 juta atau 30 peratus bagi menghadapi cabaran ekonomi global serta memperkukuh sistem perlindungan sosial.

"Tumpuan itu merangkumi kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi kumpulan sasar sebagai teras meningkatkan kesejahteraan rakyat Selangor pada tahun mendatang," jelas beliau.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Selangor membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM3.23 bilion dengan tema 'Selangor Juara, Rakyat Sejahtera'
  • RM1.86 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.37 bilion untuk perbelanjaan pembangunan
  • Belanjawan 2026 bertekad pada pengukuhan hasil negeri, peluang ekonomi, reformasi tadbir urus, dan pembangunan sosial
  • Hasil negeri diunjurkan sebanyak RM2.8 bilion dengan defisit RM430 juta yang akan ditampung melalui baki Akaun Hasil Disatukan
  • Tumpuan belanjawan pada sektor sosial dengan RM360 juta diperuntukkan bagi menghadapi cabaran ekonomi global dan memperkuat perlindungan sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!