Dewan Rakyat kecoh isu 'menantu Pagoh'

Johari meminta Abdul Khalib duduk untuk memberi ruang kepada Perdana Menteri menjawab soalan tambahan yang diutarakaan.
Johari meminta Abdul Khalib duduk untuk memberi ruang kepada Perdana Menteri menjawab soalan tambahan yang diutarakaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat pada Selasa kecoh seketika dengan isu menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilapor lari ke luar negara selepas ia dibangkitkan seorang ahli Parlimen kerajaan.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ketika mengajukan soalan tambahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan kerajaan terhadap mereka yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun melarikan diri ke luar negara.

"Sebagai contoh, anak menantu Pagoh (Muhyiddin) yang terbabit dalam kes rasuah. SPRM hendak mendakwa tetapi dia sudah melarikan diri ke luar negara sebaik sahaja ayah mentuanya iaitu Pagoh didakwa oleh SPRM di mahkamah.

"Memandangkan anak menantu Pagoh sudah melarikan diri, adakah SPRM ada bertanya kepada bapa mentua ke mana perginya anak menantu beliau?" katanya.

Pertanyaan tersebut mencetuskan situasi kurang senang dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang yang masing-masing mempersoal motif Poay Tiong yang beberapa kali membangkitkan isu sama.

Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang bangun mencelah menegaskan kenyataan Poay Tiong sudah beberapa kali dibangkitkan dan memberi ‘sakit hati’ kepada pembangkang.

"Saya ingat berapa kali Kota Melaka bangkitkan soalan sama berkaitan anak menantu. Sakit hati kami. Kes terowong macam mana?" katanya merujuk kes rasuah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin DAP.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kemudiannya meminta kedua-dua Ahli Parlimen duduk untuk memberi laluan kepada Perdana Menteri menjawab soalan dibangkitkan.

"Saya sudah suruh Kota Melaka duduk. Kita jawab yang ini dahulu, kita masuk kes terowong kemudian. Isu ini (menantu Pagoh) pun sudah dibangkitkan banyak kali, jadi saya rasa tak perlu ungkit lagi kecuali ada isu baharu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilapor mengesahkan sudah selesai menyiasat kes pecah amanah membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu Muhyiddin.

Azam berkata, ketika ini tugas SPRM adalah memastikan pertuduhan terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya berlaku di negara ini.

Bagaimanapun beliau berkata, siasatan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini berdepan kesukaran untuk membawa pulang Muhammad Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat, ekoran beberapa faktor termasuk usaha mengenal pasti aset di luar negara.

Ringkasan AI

  • Sidang Dewan Rakyat kecoh dengan isu menantu Muhyiddin Yassin lari ke luar negara
  • Khoo Poay Tiong persoalkan tindakan kerajaan terhadap mereka yang lari selepas didakwa SPRM
  • Anak menantu Muhyiddin terlibat dalam kes rasuah dan lari selepas Muhyiddin didakwa
  • Ahli Parlimen pembangkang persetankan motif Poay Tiong yang bangkitkan isu sama
  • SPRM menyiasat dan berusaha membawa pulang Muhammad Adlan dan peguamnya yang melarikan diri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!