Sabah mulakan rundingan bayaran hak 40 peratus

KOTA BELUD – Perbincangan awal berhubung mekanisme pembayaran hak 40 peratus hasil cukai Sabah telah dimulakan antara Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua Perbendaharaan Malaysia di Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Kota Kinabalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pertemuan itu membincangkan kaedah penyelesaian dan mekanisme pembayaran melibatkan tuntutan hak tersebut.
“Saya belum menerima laporan penuh, namun Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan bahawa perbincangan sudah dijalankan, termasuk berkaitan mekanisme dan cara menyelesaikan isu hak 40 peratus ini.
“Bagaimana pembayarannya dan apa yang perlu dilakukan, itu semua sedang diteliti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS di sini pada Selasa.
Hajiji berkata, kerajaan negeri menunggu perincian lanjut sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kita masih ada masa. Mahkamah memberi tempoh tiga bulan untuk berbincang. Selepas itu barulah keputusan dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.
“Perbincangan mungkin tidak hanya sekali, tetapi berkali-kali sebelum persetujuan dicapai,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, belum ada jumlah ditetapkan kerana kerajaan negeri masih menunggu maklumat lengkap berhubung jumlah hasil dipungut daripada Sabah.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memerintahkan Kerajaan Persekutuan membayar hak 40 peratus hasil cukai kepada Sabah dan susulan keputusan itu, rundingan dimulakan pada Isnin.
Ringkasan AI
- Perbincangan awal tentang mekanisme pembayaran Hak 40 Peratus hasil cukai Sabah telah dimulakan di Kota Kinabalu
- Ketua Menteri Sabah belum menerima laporan penuh mengenai perbincangan tersebut
- Perincian lanjut diperlukan sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan oleh kerajaan negeri
- Makhkamah memberi tempoh tiga bulan untuk berbincang antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah
- Perbincangan ini dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Kerajaan Persekutuan membayar hak tersebut kepada Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
