Warisan kekal tidak setuju rundingan hak 40 peratus Sabah

KUDAT – Parti Warisan (Warisan) kekal dengan pendiriannya untuk tidak bersetuju perundingan dijalankan berhubung keputusan pembayaran hak 40 peratus hasil negeri Sabah.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah pun memerintahkan supaya bayaran dibuat, justeru tiada keperluan untuk perundingan dilaksanakan.
Menurutnya, perundingan tidak wajar diadakan kerana segala kaedah dan formula berkaitan perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Runding tentang hukuman mahkamah?... Jarang dalam perjalanan perundangan mana-mana negara, apabila sesuatu perkara sudah diputuskan oleh mahkamah, masih mahu dirunding lagi.
“Sebagai contoh, jika seseorang membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun, selepas keputusan mahkamah, tidak perlulah dirunding lagi kerana mahkamah telah pun membuat keputusan.
“Berikan sahaja apa yang telah diputuskan oleh mahkamah, itu mengikut perlembagaan. Kalau hendak merayu, terserah kepada Kerajaan Persekutuan, mereka ada hak,” katanya ketika sidang akhbar sempena Ceramah Mega Parti Warisan di Kudat pada Rabu.
Tambah beliau, perundingan tidak diperlukan kerana formula pembayaran telah pun sedia ada dalam Perlembagaan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerima makluman daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah berhubung permulaan perundingan isu hak 40 peratus hasil negeri.
Difahamkan, perundingan tersebut diadakan pada Isnin bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia.
Ringkasan AI
- Parti Warisan kekal tidak bersetuju perundingan untuk pembayaran hak 40 peratus hasil negeri Sabah
- Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sudah memerintahkan bayaran dibuat tanpa perlu perundingan
- Perundingan dianggap tidak wajar kerana kaedah dan formula pembayaran sudah ada dalam Perlembagaan
- Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyamakan tindakan merundingkan keputusan mahkamah dengan menegur keputusan sudah final
- Perundingan dianggap tidak perlu kerana sudah ada formula pembayaran yang termaktub dalam Perlembagaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
