MAIPs salur peruntukan tambahan: Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
A
A
A

KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan tambahan kepada golongan yang terjejas susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah, penambahan inisiatif itu adalah langkah proaktif MAIPs menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan selain signifikan dengan seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pengurusan Zakat di seluruh negara agar membantu mereka yang terkesan sepanjang tempoh PKP.

Baginda bertitah, antara inisiatif tambahan MAIPs adalah peruntukan sebanyak RM765,000 bawah Program Bantuan Khas Kecemasan Masjid MAIPs yang akan diagihkan kepada 102 kariah masjid di seluruh negeri ini.

“Bantuan itu menyasarkan golongan yang terjejas dan terdesak kerana tiada sumber pendapatan akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh PKP.

"Mereka yang mempunyai keperluan boleh menghubungi amil kariah masing-masing bermula 30 Mac ini, walaupun sebelum ini tidak disenaraikan sebagai penerima sumbangan MAIPs,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, MAIPs turut melaksanakan tambahan sumbangan RM321,200 untuk 1,606 penerima Bantuan Sara hidup Berkala MAIPs bawah inisiatif Bantuan Khas Rangsangan Asnaf MAIPs ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, MAIPs sentiasa mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengoptimumkan manfaat kepada golongan terjejas ekoran lanjutan PKP.

“Beberapa program diadakan untuk mengagihkan sumbangan antaranya melalui Pertubuhan Perlis Volunteer Action Community (PVAT) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis untuk mempercepatkan agihan bantuan khususnya makanan kepada masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan: