PM tegur keras setiausaha politiknya isu beri surat sokongan kontraktor hospital

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan telah menegur tindakan setiausaha politiknya berhubung pemberian surat sokongan kontraktor terhadap projek hospital tahun lalu.
Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, peraturan dan prinsip kerajaan sememangnya tidak membolehkan tindakan sedemikian dilakukan.
"(Berkenaan) sokongan setiausaha politik saya, saya telah memberi teguran yang keras kerana peraturan tidak membolehkan kita lakukan (surat sokongan).
"Kalau ada surat daripada saya, maksimum (arahan) 'sila teliti'. Itu standard, tetapi tidak boleh membuat satu sokongan," katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta penjelasan mengenai tindakan Setiausaha Politik Perdana Menteri yang didakwa mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Ahmad Shaari mendakwa, daripada enam kontraktor yang disenaraikan dalam surat sokongan tersebut hanya dua mempunyai kelayakan.
"Yang lain tidak ada rekod CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia), dikenakan tindakan tatatertib dan rakyat tidak melihat tindakan daripada Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri)," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan pembinaan projek hospital berkenaan yang terkait surat sokongan itu.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri menegur tindakan setiausaha politiknya terkait surat sokongan kontraktor untuk projek hospital tahun lalu
- Peraturan dan prinsip kerajaan tidak membenarkan pemberian surat sokongan seperti yang dilakukan
- Anwar Ibrahim memberi teguran keras terhadap setiausaha politiknya berkenaan isu surat sokongan
- Surat sokongan tersebut menyenaraikan enam kontraktor untuk projek hospital namun hanya dua daripadanya mempunyai kelayakan
- Ahmad Fadhli meminta penjelasan daripada Perdana Menteri mengenai surat sokongan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politiknya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

