[VIDEO] Palang sudah ditinggikan, kenderaan berat tidak dibenar lalu - Exco

A
A
A

KULAI – Palang had ketinggian di laluan dari Bandar Putra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang sebelum ini tular kerana menerima rungutan orang ramai telah dinaikkan daripada 2.1 meter kepada 2.8 meter dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, penetapan palang ketinggian bukan bertujuan menyulitkan pengguna, sebaliknya bagi memastikan keselamatan dan mengelakkan kerosakan struktur jalan yang tidak direka untuk menampung kenderaan berat.

Menurutnya, tanpa kawalan tersebut, laluan berkenaan berisiko mengalami kerosakan, mendapan serta gangguan berulang, sekali gus menjejaskan ribuan pengguna setiap hari.

“Pada awal tahun ini, perbincangan telah diadakan mengenai keperluan pemasangan palang ketinggian memandangkan kelebaran jalan di sini agak kecil, iaitu hanya kira-kira 12 meter berbanding standard 17 meter.

Mohd Jafni (dua dari kanan) meninjau lokasi palang Bandar Putra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang sebelum ini menerima rungutan pengguna.
Mohd Jafni (dua dari kanan) meninjau lokasi palang Bandar Putra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang sebelum ini menerima rungutan pengguna.

“Saya difahamkan sudah tiga kemalangan membabitkan lori treler berlaku di sini sejak awal tahun. Keadaan jalan yang berbukit dan mempunyai selekoh tajam memang tidak sesuai untuk kenderaan berat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau sendiri lokasi palang had ketinggian terbabit di laluan Bandar Putra–Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, petang Isnin.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan pengguna jalan raya yang sering menggunakan laluan Bandar Putra ke Lapangan Terbang Senai mengeluh apabila pembinaan palang setinggi hanya 2.1 meter itu didakwa menjejaskan laluan mereka.

Artikel Berkaitan:

Rungutan yang tular di Facebook Orang Kulai turut memaparkan sebuah kenderaan yang mengalami kerosakan di bahagian belakang dipercayai terlanggar palang berkenaan.

Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai turut mengingatkan meskipun palang telah dinaikkan, laluan itu masih tidak dibenarkan digunakan oleh kenderaan berat seperti lori tanah, lori pasir dan treler.

“Mereka boleh menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Industri IOI ke Desa Idaman,” katanya.

Tambah beliau , laluan berkenaan merupakan milik persendirian di bawah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama kerajaan negeri bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan asas di sepanjang laluan tersebut.

Menurut Mohd Jafni, usaha itu dilakukan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan laluan yang digunakan ribuan pengguna setiap hari itu berada dalam keadaan baik, selamat dan terurus.

Ringkasan AI

  • Palang had ketinggian di laluan dari Bandar Putra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dinaikkan dari 2.1 meter ke 2.8 meter
  • Penetapan palang ketinggian untuk memastikan keselamatan dan mengelakkan kerosakan struktur jalan
  • Tiga kemalangan membabitkan lori treler berlaku di laluan berkenaan sejak awal tahun
  • Palang had ketinggian tidak membenarkan laluan itu digunakan oleh kenderaan berat
  • Laluan tersebut merupakan milik persendirian di bawah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan penyelenggaraan dilakukan sebagai bagian dari inisiatif CSR

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!