Lelaki China disyaki cuba seludup ketamin lebih RM300,000 di KLIA

Dadah yang dipercayai disembunyikan dalam dua bagasi dibawa suspek.
Dadah yang dipercayai disembunyikan dalam dua bagasi dibawa suspek.
A
A
A

SEPANG – Tindakan seorang lelaki warga China menyembunyikan dadah dalam ruangan rahsia dua bagasi miliknya terbongkar selepas ditahan pasukan penguat kuasa di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal (KLIA2) baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Zulkifli Muhammad berkata, tangkapan dilakukan pada 28 Oktober lalu.

Menurutnya, taktik itu terbongkar selepas imbasan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) LTAKL mengesan imej mencurigakan dalam bagasi yang dibawa suspek.

"Pemeriksaan lanjut menemui beberapa bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk disyaki ketamin yang dibalut dengan pembalut aluminium sebelum ditutup menggunakan papan dan disorokkan di bahagian dalam pelapik kain kedua-dua bagasi berkenaan.

"Keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan seberat 6,884 gram dengan nilai lebih RM344,000," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zulkifli (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang ditemui dalam bagasi dirampas.
Zulkifli (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang ditemui dalam bagasi dirampas.

Zulkifli berkata, suspek dan barang kes seterusnya diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL untuk siasatan lanjut.

"Ketamin berkenaan disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diingatkan tidak terlibat dalam aktiviti penyeludupan kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Katanya, orang awam turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat.

Ringkasan AI

  • Lelaki warga China ditangkap kerana menyembunyikan dadah dalam bagasi di KLIA2
  • Tangkapan dilakukan pada 28 Oktober oleh JKDM
  • Imej mencurigakan dalam bagasi dikesan oleh AKPS LTAKL
  • Serbuk disyaki ketamin dirampas, berat 6,884 gram bernilai lebih RM344,000
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!