Pemilik akaun TikTok diarah padam video fitnah Tabung Haji dalam 24 jam

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang pemilik akaun TikTok, Hidayat Ramli memadam klip video yang didakwa memfitnah Lembaga Tabung Haji (TH) di media sosial dalam masa 24 jam.
Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili TH selaku plaintif berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hazizah Kassim memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan injunksi sementara secara exparte atau sebelah pihak, terhadap Hidayat, 38, selaku defendan pada Khamis.
Menurutnya, perintah itu turut meliputi larangan terhadap defendan, wakil atau mana-mana individu daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi atau memuat naik semula klip video bertarikh 17 September lalu.
Beliau berkata, mahkamah turut mengeluarkan injunksi yang menghalang defendan daripada menerbitkan sebarang kenyataan yang serupa atau mempunyai kesan yang sama,” katanya yang menambah pendengaran inter-parte atau kedua belah pihak ditetapkan pada 27 November.
“Permohonan injunksi berkenaan dibuat kerana wujud keadaan mendesak untuk menghentikan penyebaran kandungan berunsur fitnah itu.
“Defendan didakwa secara berniat jahat memuat naik, menyiarkan dan menghebahkan klip video berkenaan.
“Kandungan tersebut palsu serta telah menjejaskan reputasi, mencalar imej dan menjatuhkan maruah TH di mata masyarakat,” katanya.
Menurut afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Ketua Pegawai Perundangan dan Sekretarial Kumpulan TH, Mohd Suhaimi Ismail melalui permohonan injunksi itu, ia menyatakan defendan telah memuat naik dan menerbitkan klip bersifat tidak benar dengan menggambarkan pendeposit telah berpusu-pusu mengeluarkan simpanan masing-masing.
Plaintif juga berkata, ia menimbulkan pandangan serong kepada pendeposit dan masyarakat Malaysia terhadap kestabilan kewangan TH.
Katanya, hal berkenaan juga menjejaskan dan merosakkan kestabilan selain menjatuhkan reputasi TH sebagai institusi kewangan Islam yang berwibawa serta dikenali secara meluas di peringkat antarabangsa.
“Setakat tarikh 29 September lalu, klip video yang mengandungi pernyataan fitnah telah mendapat lebih daripada 3.7 juta tontonan, 53,500 tanda suka, 7,351 komen, 12,200 simpanan dan dikongsi lebih daripada 52,700 kali oleh pengguna-pengguna TikTok seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
“Tidak dinafikan, banyak komen negatif atau cacian susulan penerbitan terhadap TH, sekali gus menimbulkan rasa takut sehingga mereka menyatakan hasrat untuk menutup akaun masing-masing,” katanya.
Bukan itu sahaja katanya, keratan rakaman video tersebut telah dimuat turun oleh banyak pengguna TikTok dan dikongsi melalui aplikasi media sosial yang lain.
Susulan itu plaintif berkata, notis tuntutan fitnah dan injunksi dibuat menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 3 Oktober lalu.
Bagaimanapun plaintif berkata, defendan enggan, cuai atau gagal untuk memenuhi tuntutan tersebut.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pemilik akaun TikTok, Hidayat Ramli, memadam klip video yang memfitnah Tabung Haji dalam masa 24 jam
- Pesuruhjaya Kehakiman membenarkan permohonan injunksi sementara terhadap Hidayat secara exparte
- Injunksi melarang terbitan atau penyebaran semula klip video tertentu dan sebarang kenyataan serupa
- Video tersebut didakwa memfitnah dan menjejaskan reputasi Tabung Haji
- Klip video mendapat lebih dari 3.7 juta tontonan dan mencetuskan banyak komen negatif terhadap Tabung Haji
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

