34 transaksi dalam dua jam, SBKN syak wujud sindiket terancang

KUALA LUMPUR – Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Datuk Dr Kalaivanar mempersoalkan bagaimana 34 transaksi tidak sah boleh diluluskan dalam tempoh hanya dua jam, sehingga menyebabkan seorang wanita mengalami kerugian RM16,700.
Beliau berkata, kejadian itu menunjukkan kegagalan serius sistem pemantauan fraud bank dan e-wallet yang sepatutnya menyekat transaksi luar kebiasaan secara automatik.
“Ini bukan satu atau dua transaksi. Ini 34 transaksi dalam masa dua jam. Sistem patut sekat serta-merta,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Menurutnya, apa yang berlaku menunjukkan kelemahan ketara dalam keselamatan data dan sistem perbankan negara sehingga membolehkan transaksi tidak normal diproses tanpa sebarang amaran kepada pengguna.
Tambahnya, penemuan itu menguatkan syak bahawa wujudnya sindiket terancang yang memanipulasi identiti syarikat palsu bagi memproses transaksi penipuan.
“Bagaimana syarikat yang tak berdaftar boleh muncul dalam penyata rasmi sistem kewangan negara?” soalnya.
Jelasnya, semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat-syarikat yang tertera dalam penyata tidak wujud dalam rekod rasmi.
Beliau turut mempersoalkan tindakan penyedia e-wallet dan pihak bank yang didakwa gagal mengesan pergerakan luar biasa tersebut.
“Mana kawalan? Mana notifikasi? Mana pengesahan tambahan? Ini kelakuan transaksi yang sangat mencurigakan,” ujarnya.
Beliau berkata, lebih membimbangkan ialah kemungkinan berlaku kebocoran maklumat pelanggan daripada pihak yang mempunyai akses dalaman institusi kewangan.
"Kita tak boleh tolak kemungkinan ada orang dalam,” tambahnya.
Kalaivanar berkata, institusi kewangan tidak boleh menuding jari kepada pengguna sedangkan terdapat bukti jelas transaksi itu bukan dilakukan pemilik akaun.
“Jangan hukum mangsa. Siasat dulu sistem sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan, insiden seumpama itu menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keselamatan transaksi digital dan turut mencalarkan reputasi negara.
“Kita bangga dengan teknologi tetapi keselamatan longgar, ini memalukan,” katanya.
Kalaivanar berkata, SBKN menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) memperketat sistem keselamatan transaksi dan menyiasat aduan pengguna secara telus tanpa melindungi kelemahan institusi kewangan.
Katanya, SBKN tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan himpunan aman sekiranya isu tersebut tidak ditangani segera.
“Kalau masih tak ada tindakan, kita turun ke BNM. Itu janji saya,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Pengerusi SBKN mempersoalkan bagaimana 34 transaksi tidak sah diluluskan dalam dua jam menyebabkan kerugian RM16,700
- Kegagalan sistem pemantauan bank dan e-wallet untuk menyekat transaksi luar kebiasaan menunjukkan kelemahan keselamatan data
- Transaksi tidak normal diproses tanpa amaran kepada pengguna menunjukkan kemungkinan wujud sindiket yang memanipulasi identiti syarikat palsu
- Ketiadaan kawalan dan notifikasi dari penyedia e-wallet dan bank atas transaksi mencurigakan
- SBKN mendesak Bank Negara memperketat keselamatan transaksi dan siasat aduan pengguna secara telus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

