GRS sasar hasil berterusan RM10 bilion menjelang 2030

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggariskan sasaran untuk meningkatkan kutipan hasil negeri secara berterusan sehingga mencecah sekurang-kurangnya RM10 bilion menjelang 2030, sekali gus menjadikan pengukuhan pendapatan negeri sebagai antara fokus utama manifesto Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Manifesto berkenaan dipacu melalui empat rukun iaitu Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Maju ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah Bersatu).
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata, empat rukun itu diterjemahkan melalui 16 Strategi yang merentasi pelbagai bidang pembangunan.
"Dua matlamat utama manifesto ini sebagaimana yang termaktub dalam tema 'Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan' adalah mengukuhkan momentum iaitu peningkatan pendapatan negeri dan pendayaupayaan sosioekonomi rakyat.
"Antara strategi yang digariskan dalam memperkukuh momentum peningkatan pendapatan negeri adalah ketegasan memperjuangkan hak-hak Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Ia termasuk hak 40 peratus pemberian khas, pengukuhan sumber ekonomi, penerokaan potensi ekonomi baharu, reformasi undang-undang dan institusi untuk memperkukuh persekitaran kondusif serta tadbir urus yang baik.
"Selan itu, manifesto GRS juga menekankan strategi berorientasikan pengukuhan momentum pendayaupayaan sosioekonomi rakyat seperti pembangunan modal insan, penyelesaian isu infrastruktur asas, peluang pekerjaan dengan pendapatan bermaruah, penyediaan akses perumahan mampu milik, peningkatan bantuan sosial dan pengukuhan perpaduan dan kesatuan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena pelancaran Manifesto PRN17 GRS yang dilancarkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Isnin.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pembangunan negeri serta penyelesaian isu legasi tidak boleh digerakkan melalui retorik atau sentimen politik semata-mata.
"Teras utama kepada keberkesanan sebarang bentuk strategi dan pendekatan penyelesaian adalah keupayaan hasil pendapatan negeri yang kukuh dan stabil. Semua pihak perlu tampil dengan manifesto yang realistik bersandarkan keupayaan fiskal negeri dalam tempoh lima tahun (2026-2030).
"Mengambil kira parti-parti utama yang bertanding pernah memimpin negeri, tawaran janji manifesto mereka perlu dipersembahkan bersama rekod prestasi dalam konteks tahap pencapaian menjana pendapatan negeri ketika berkuasa," katanya.
Beliau menegaskan bahawa rekod peningkatan hasil di bawah pentadbiran GRS menjadi asas kepada hala tuju manifesto kali ini.
"Pencapaian ini bukan sahaja menembusi rekod tertinggi dalam sejarah pentadbiran Sabah, malah menjadi bukti bahawa keberkesanan strategi ekonomi, disiplin fiskal dan tadbir urus baik di bawah pentadbiran GRS. Ini sekali gus menzahirkan kejayaan agenda Kerajaan GRS melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 (2021-2025).
"Jumlah hasil pendapatan negeri menunjukkan momentum peningkatan positif sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan GRS dengan kali pertama menembusi paras RM5 bilion pada tahun 2021 setelah berbelas tahun berada pada sekitar di antara RM3 bilion dan RM4 bilion di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan yang lalu.
"Peningkatan bermula RM5.45 bilion pada 2021, RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan RM6.84 bilion pada 2024," katanya.
Katanya, pertambahan sebanyak RM3.25 bilion atau 90.5 peratus pada tahun 2024 berbanding 2020 di bawah pentadbiran kerajaan Warisan turut membuktikan keberkesanan pengurusan hasil oleh GRS.
"Bersandarkan kepada momentum pencapaian ini, GRS menggariskan antara fokus keutamaan manifesto adalah untuk terus meningkatkan kutipan hasil setiap tahun dengan sasaran mencecah sekurang-kurangnya RM10 bilion menjelang tahun 2030.
"Usaha ini akan dimaknai dengan strategi memperluas sumber hasil pendapatan negeri, antaranya melalui penerokaan potensi ekonomi biru, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, pemerdagangan kredit karbon," katanya.
Katanya lagi, selain itu, GRS turut merangka strategi jangka panjang demi masa depan generasi muda Sabah dan akan merintis usaha untuk membina masa depan Sabah melalui pewujudan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah.
"Strategi ini merupakan pelaburan jangka masa panjang bagi menjamin kemampanan, kestabilan dan lonjakan hasil pendapatan negeri untuk dinikmati generasi akan datang.
"Dana ini dicadangkan menerima suntikan modal awal permulaan daripada sebahagian rizab negeri semasa dan tambahan modal tahunan daripada sebahagian hak 40 peratus Pemberian Khas," ujarnya.
Tambahnya lagi, manifesto sedemikian merupakan komitmen GRS untuk membangunkan Sabah dengan pendekatan realistik, pragmatik dan mampan.
"Dengan mandat daripada rakyat pada PRN17, GRS bertekad dan berazam untuk memacu Sabah yang maju serta rakyatnya berkemajuan selain merintis pembinaan masa depan anak-anak generasi akan datang," tegasnya.
Ringkasan AI
- GRS menyasarkan kutipan hasil Sabah RM10 bilion menjelang tahun 2030 dengan fokus pendapatan negeri
- Manifesto GRS mempromosi empat rukun: Sabah Diutamakan, Sabah Maju ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Bersatu
- Memanfaatkan hak-hak Sabah melalui Perjanjian Malaysia 1963 dan memperkukuh ekonomi antara strategi utama
- Pencapaian GRS menunjukkan peningkatan hasil dari RM5.45 bilion pada 2021 hingga RM6.97 bilion pada 2023
- GRS menjadikan kestabilan fiskal dan pengembangan ekonomi berkelanjutan sebagai prioriti pembangunan Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
