Tabung Prihatin Covid-19 MAIS kini berjumlah RM77, 371

Wakil MAIS menyerahkan sumbangan kepada KUIS menerusi sumbangan Tabung Prihatin Covid-19 MAIS
Wakil MAIS menyerahkan sumbangan kepada KUIS menerusi sumbangan Tabung Prihatin Covid-19 MAIS
A
A
A

SHAH ALAM - Tabung Prihatin Covid-19 Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kini mencapai RM77, 371 sejak dilancarkan pada 20 Mac lalu.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, sumbangan itu akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan terutama kebajikan petugas barisan hadapan yang sedang memerangi Covid-19.

Menurutnya, sumbangan makanan kering dan barang keperluan am telah dihantar ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), petugas kesihatan hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah serta petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bantuan kelengkapan perubatan seperti Personal Protective Equipment (PPE) dan topeng muka akan disalurkan juga mengikut kepada keperluan di hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Ahmad Shahir berkata, MAIS juga menyediakan bantuan makanan kering seperti beras, minyak masak dan lain-lain keperluan kepada rumah anak yatim dan pelarian Rohingya selain keluarga pesakit Covid-19.

"Usaha yang dilaksanakan ini merupakan gerak kerja bersepadu di antara MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) serta Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE)," katanya.

Sehubungan itu katanya, MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS akan terus memperkukuhkan jentera dalam menyalurkan bantuan terutama kepada barisan hadapan.

MAIS meminta masyarakat terus menyalurkan sumbangan terus ke Akaun Bank Islam MAIS 12038010134961 atau boleh layari aplikasi atas talian di http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php.

Artikel Berkaitan: