KWSP raih RM63.99 bilion pendapatan pelaburan untuk sembilan bulan pertama 2025

Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 adalah RM25.07 bilion.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 adalah RM25.07 bilion.
A
A
A

SHAH ALAM – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2025 (9M 2025).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata pendapatan itu meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun 2024.

“Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (S3 2025) adalah sebanyak RM25.07 bilion, meningkat 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan 11 peratus dalam pendapatan pelaburan serta 12 peratus dalam aset di bawah pengurusan berpunca daripada pelaksanaan alokasi aset strategik yang membolehkan KWSP memanfaatkan pemulihan pasaran ekuiti pasca 'Liberation Day',” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Prestasi KWSP untuk S3 2025.
Prestasi KWSP untuk S3 2025.

 

Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pelaburan antarabangsa pula merangkumi 39 peratus daripada jumlah aset, disokong oleh penilaian pasaran ekuiti global yang berdaya tahan.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang suku tersebut, pelaburan antarabangsa menjana RM13.33 bilion, iaitu 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Pertumbuhan stabil keahlian dan caruman mengukuhkan jaminan persaraan, manakala pasaran tenaga buruh dijangka kekal berdaya tahan pada suku terakhir hasil sokongan Belanjawan 2026, kestabilan makroekonomi dan pelaburan langsung.

Kadar pengangguran juga menurun sebanyak 0.2 mata peratus kepada tiga peratus pada September 2025 berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ahmad Zulqarnain turut menyatakan keyakinan terhadap kekuatan ekonomi Malaysia yang merangkumi 61 peratus portfolio KWSP, selain strategi pelaburan global yang menyumbang 53 peratus kepada pendapatan pelaburan suku ini.

“Biarpun prestasi sembilan bulan pertama memberangsangkan, kami kekal berwaspada memasuki suku keempat (S4). Pertumbuhan dalam pasaran ekuiti global telah meningkatkan penilaian, manakala petunjuk ekonomi yang tidak sekata boleh memperlahankan penurunan kadar faedah.

“KWSP menguruskan risiko-risiko ini secara aktif dengan mempercepatkan pengambilan keuntungan pada kadar yang mungkin sukar dilaksanakan pada S4,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang suku yang dikaji, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan dengan menjana RM16.95 bilion atau 68 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

“Walaupun sedikit menurun berbanding RM18.35 bilion pada suku ketiga 2024, prestasi ini tetap menunjukkan pemulihan berbanding suku pertama dan kedua 2025 yang lebih sederhana.

“Pertumbuhan pasaran ekuiti global sepanjang suku tersebut membolehkan pengurus dana KWSP memanfaatkan peluang pasaran dan mengambil keuntungan,” jelasnya.

Beliau berkata, instrumen pendapatan tetap terus memainkan peranan dalam pemeliharaan modal dengan menjana RM6.75 bilion atau 27 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.

“Kelas aset yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan bon sama taraf menyediakan aliran pendapatan stabil dan membantu mengimbangi turun naik pasaran jangka pendek, sekali gus menyokong kestabilan keseluruhan portfolio.

“Hartanah dan infrastruktur menyumbang RM1.14 bilion, manakala instrumen pasaran wang mencatat RM0.23 bilion. Daripada jumlah pendapatan suku ketiga 2025, RM20.48 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM4.59 bilion untuk Simpanan Syariah,” katanya.

Ahmad Zulqarnain berkata, selaras dengan kekuatan pasaran tenaga buruh, KWSP mendaftarkan 427,329 ahli baharu sepanjang 9M 2025, menjadikan jumlah keseluruhan ahli meningkat kepada lebih 16.5 juta.

“Daripada jumlah tersebut, 9.07 juta ialah ahli aktif yang mewakili 51.7 peratus daripada 17.54 juta tenaga buruh setakat September 2025. Nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kekal stabil pada 55:45 bagi 9M 2025.

“Pendaftaran majikan baharu mencapai 62,401, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif berdaftar dengan KWSP sebanyak 628,321 setakat September 2025,” jelas beliau.

Menurutnya, dalam tempoh suku tahunan, jumlah caruman turut meningkat sebanyak 10.5 peratus kepada RM27.84 bilion berbanding RM25.20 bilion pada S3 2024.

“Jumlah caruman sukarela meningkat sebanyak 47.5 peratus kepada RM15.3 bilion pada 9M 2025 berbanding RM10.37 bilion pada tahun sebelumnya.

“Bagi tempoh sembilan bulan tersebut, jumlah ahli formal yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup ialah 231,034 berbanding 172,829 pada tempoh sama tahun lalu,” ujarnya.

Jelas Ahmad Zulqarnain, berikutan pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia bermula dengan gaji Oktober 2025, KWSP giat menangani keperluan peralihan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya.

“KWSP kekal komited untuk menjalinkan libat urus dengan pihak berkepentingan dan memastikan peralihan berjalan lancar melalui panduan dan sokongan berterusan,” ujar beliau.

 

Ringkasan AI

  • KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion untuk sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2025, meningkat 11 peratus dari tahun sebelumnya
  • Jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus dari tahun sebelumnya, dengan pelaburan antarabangsa merangkumi 39 peratus daripada jumlah aset
  • Pertumbuhan pendapatan pelaburan disokong oleh pemulihan pasaran ekuiti pasca 'Liberation Day', dengan ekuiti sebagai penyumbang terbesar pendapatan pada suku ketiga 2025
  • Kadar pengangguran menurun ke tiga peratus pada September 2025, dengan KWSP mendaftarkan 427,329 ahli baharu sepanjang 9M 2025, menjadikan jumlah keseluruhan ahli lebih 16.5 juta
  • KWSP menerapkan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia bermula dengan gaji Oktober 2025, sambil kekal komited untuk memastikan peralihan berjalan lancar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!