Majlis Peguam, KRPPM-IGAR perkukuh konsultasi undang-undang

Mohamad Ezri (lapan dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Syed Hamid (tujuh dari kiri) selaku wakil pakar sivil KRPPM-IGAR di Wisma Badan Peguam Malaysia, Kuala Lumpur pada 6 November lalu.
Mohamad Ezri (lapan dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Syed Hamid (tujuh dari kiri) selaku wakil pakar sivil KRPPM-IGAR di Wisma Badan Peguam Malaysia, Kuala Lumpur pada 6 November lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertemuan strategik melibatkan Majlis Peguam Malaysia dengan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-Integriti, Governans dan Anti-Rasuah (KRPPM-IGAR) diyakini mampu memastikan proses reformasi perundangan negara dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan inklusif.

Pengerusi Bersama Majlis Peguam Malaysia, Datuk Seri M Ramachelvam berkata, perbincangan bersama pakar sivil KRPPM-IGAR yang diadakan pada Khamis memberi tumpuan kepada keperluan mewujudkan prosedur konsultasi menyeluruh antara pemegang taruh dan Parlimen sebelum sesuatu rang undang- undang dibentangkan atau diluluskan.

Menurutnya, penglibatan Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil (CSO) dan rakyat dalam proses penggubalan undang-undang adalah penting bagi menjamin ketelusan serta memastikan ia memenuhi keperluan semasa.

“Tanpa proses konsultasi yang menyeluruh, sesuatu undang-undang boleh terdedah kepada kepincangan pelaksanaan.

“Sebagai contoh, dalam pembentangan undang-undang baharu berkaitan pembaharuan bandar, beberapa kelemahan telah dikenal pasti. Namun hasil konsultasi, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan kelulusan bagi mengadakan perbincangan lebih mendalam,” katanya.

Mesyuarat Majlis Badan Peguam bersama pakar sivil KRPPM-IGAR yang berlangsung di Wisma Badan Peguam Malaysia, Leboh Pasar Besar pada 6 November lalu.
Mesyuarat Majlis Badan Peguam bersama pakar sivil KRPPM-IGAR yang berlangsung di Wisma Badan Peguam Malaysia, Leboh Pasar Besar pada 6 November lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Badan Peguam bersama pakar sivil KRPPM-IGAR di Wisma Badan Peguam Malaysia, Leboh Pasar Besar, di sini pada 6 November lalu.

Turut hadir, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab; bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Pushpan Murugiah; Pakar Perlembagaan KRPPM-IGAR, Maha Balakrishnan; dan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin.

Artikel Berkaitan:

Ramachelvam berkata, mesyuarat itu turut membincangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang (Law Reform Commission) yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem perundangan negara.

“Dengan adanya suruhanjaya ini, undang-undang baharu dapat digubal secara lebih berkesan, manakala undang- undang lama yang lapuk serta tidak lagi relevan dapat dimansuhkan.

“Negara yang sedang membangun seperti Malaysia memerlukan undang-undang yang segar dan sesuai dengan perubahan zaman, termasuk dalam era digital,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, perbincangan dua hala tersebut juga berpotensi menjadi asas penting kepada pembentukan reformasi institusi dalam sistem demokrasi negara.

“Apa yang penting ialah pertukaran pandangan profesional antara kedua-dua pihak, supaya hasil penggubalan undang- undang menerusi proses konsultasi ini benar-benar mencerminkan kehendak rakyat dan keperluan negara,” katanya.

Menurut beliau, pertemuan tersebut turut membincangkan perkembangan terkini usaha reformasi perundangan negara yang masih berjalan.

“Perkara ini penting untuk diterjemahkan secara tepat kepada masyarakat agar mereka turut menyokong aspirasi tersebut.

“Insya-ALLAH, penglibatan Majlis Peguam dan KRPPM-IGAR akan terus diperkukuh supaya interaksi dua hala ini berlangsung secara lebih konsisten,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Pertemuan strategik Majlis Peguam Malaysia dengan KRPPM-IGAR bertujuan memastikan reformasi perundangan dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif
  • Pembahasan keperluan konsultasi menyeluruh antara pemegang taruh dan Parlimen sebelum pembentangan rang undang-undang
  • Penglibatan Majlis Peguam, NGO, CSO, dan rakyat dalam penggubalan undang-undang penting untuk ketelusan dan memenuhi keperluan semasa
  • Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang (Law Reform Commission) untuk memperkukuh sistem perundangan
  • Pertemuan juga membincangkan usaha reformasi perundangan yang sedang berjalan dan pentingnya diterjemahkan kepada masyarakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!