Pulau Pinang tumpu pulih sawah atasi kemerosotan hasil padi

Serangan rumpai keladi agas atau monochoria vaginalis dikenal pasti sebagai punca utama penurunan hasil.
Serangan rumpai keladi agas atau monochoria vaginalis dikenal pasti sebagai punca utama penurunan hasil.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang memberi tumpuan kepada pemulihan kawasan sawah, peningkatan hasil, bantuan teknikal serta amalan pertanian lestari bagi memastikan pesawah dapat kembali menanam dengan lebih berkesan pada Musim 2/2025.

Pulau Pinang tumpu pulih sawah atasi kemerosotan hasil padi
Pulau Pinang tumpu pulih sawah atasi kemerosotan hasil padi

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, komitmen itu dilaksanakan susulan kemerosotan ketara hasil padi pada Musim 1/2025 terutamanya di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) yang menjejaskan pendapatan pesawah.

Menurutnya, serangan rumpai keladi agas atau monochoria vaginalis dikenal pasti sebagai punca utama penurunan hasil.

"Rumpai akuatik berdaun lebar itu membiak melalui biji benih dan rizom selain bersaing mendapatkan nutrien, cahaya matahari dan air sekali gus menyebabkan pertumbuhan padi terbantut, hasil tuaian merosot dan mutu beras menurun.

"Ia turut menyukarkan kerja penyelenggaraan sawah dan meningkatkan kos kawalan," katanya ketika Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Amir Hamzah Abdul Hashim@ Md Hashim (Pas-Permatang Pasir) berhubung pendapatan pesawah musim terbaru yang mengalami kerugian kerana kewujudan rumpai terlalu banyak.

Tambahnya, faktor lain turut menyumbang ialah kualiti air pengairan terjejas, penggunaan benih tidak sah, amalan agronomi yang tidak mengikut piawaian serta kekurangan tenaga kerja di lapangan.

Kata Fahmi, bagi menangani isu tersebut, Jabatan Pertanian Pulau Pinang menubuhkan Jawatankuasa Task Force khas pada Mei 2023 bagi membendung dan mengawal keladi agas serta menyelaras tindakan bersepadu bersama jabatan, agensi dan pesawah.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak RM900,000 diperuntukkan pada 2023 di bawah Program Pembangunan Tanaman Padi termasuk RM400,000 khusus untuk perolehan perkhidmatan kawalan keladi agas mengikut pakej yang disyorkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di dua daerah utama penanaman padi.

"Hasilnya, keluasan infestasi menurun sebanyak 64.15 peratus pada Musim 1/2024," ujar beliau.

Tambahnya, sepanjang 2025, 12 siri kempen dan taklimat kawalan rumpai, perosak dan penyakit dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran pesawah mengenai kaedah kawalan awal.

"Petak demonstrasi Rice Check turut diwujudkan di SPU melibatkan empat hektar bagi memperkukuh amalan agronomi tepat dan berkesan.

"Kerajaan negeri turut meneliti keperluan pemberian bantuan khas (one-off) kepada pesawah yang terjejas berdasarkan tahap kerosakan, impak pendapatan dan kemampuan kewangan semasa.

"Selain itu kita bekerjasama dengan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Jabatan Pertanian (Malaysia) bagi menyalurkan sokongan teknikal dan bantuan sewajarnya," ujarnya.

Dalam usaha jangka panjang memperkukuh sektor tanaman padi sebagai tunjang sekuriti makanan negeri, Fahmi berkata, kerajaan melaksanakan beberapa strategi utama antaranya peningkatan produktiviti daripada purata 4.95 tan sehektar kepada sasaran 7 tan sehektar menjelang 2030 melalui varieti padi berpotensi tinggi, benih sah, pembajaan seimbang dan amalan Rice Check.

"Selain itu, kerajaan melaksanakan kawalan rumpai, perosak dan penyakit secara bersepadu menerusi Task Force, kawalan kimia dan manual serta kempen kesedaran, pemulihan Pasel Terbiar (PT) dan pengoptimuman Pasel Aktif (PA) meliputi 12,218.08 hektar kawasan keseluruhan, termasuk 8,004.12 hektar PA di SPU.

"Kerajaan juga melaksanakan pemodenan penanaman padi melalui penggunaan jentera moden, sistem pengairan cekap air dan teknologi smart farming, pembangunan modal insan dan penglibatan belia melalui insentif belia tani, latihan kemahiran serta galakan menubuhkan koperasi pertanian serta insentif dan sokongan berterusan kepada pesawah, termasuk kajian bantuan 'one-off' mengikut kemampuan kewangan kerajaan," katanya.

Menurutnya, kerjaan negeri berharap pendekatan bersepadu ini dapat meningkatkan produktiviti sawah padi, menstabilkan pendapatan pesawah serta memastikan kelestarian bekalan makanan Pulau Pinang dalam jangka panjang.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pulau Pinang memberi tumpuan kepada pemulihan sawah dan peningkatan hasil pertanian
  • Serangan rumpai keladi agas menjadi faktor utama penurunan hasil padi
  • RM900,000 diperuntukkan untuk kawalan keladi agas dan program pembangunan tanaman padi
  • Peningkatan produktiviti padi dari 4.95 tan sehektar menjadi 7 tan sehektar menjelang 2030 sebagai sasaran
  • Pemodenan penanaman padi termasuk penggunaan teknologi smart farming dan pembangunan modal insan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!