SPRM tekankan pemulihan aset, tangani ketirisan dana awam

Azam (lima dari kiri) menghadiri Mesyuarat Bilateral ke-16 di Brunei pada 10 November lalu.
Azam (lima dari kiri) menghadiri Mesyuarat Bilateral ke-16 di Brunei pada 10 November lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Penekanan terhadap usaha pemulihan aset menjadi agenda penting Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai langkah menangani ketirisan dana awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM juga bersedia menawarkan sokongan teknikal kepada mana-mana pihak termasuk penggunaan teknologi penyiasatan terkini.

"SPRM turut berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pelaksanaan operasi siasatan, program pencegahan rasuah, jaringan kerjasama rentas sempadan serta pelbagai inisiatif ke arah memperkukuh integriti organisasi dan pendidikan antirasuah di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Bilateral Ke-16 bersama Anti-Corruption Bureau (ACB) Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan An-Naura, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Complex, Bandar Seri Begawan, Brunei pada 10 November lalu.

Mesyuarat itu dianjurkan oleh ACB selaku hos dan merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi yang telah terjalin lebih dua dekad.

Delegasi SPRM diketuai Azam manakala ACB diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Datin Paduka Anifa Rafiza Abd Ghani yang berperanan sebagai pengerusi bersama mesyuarat tersebut.

Mesyuarat Dua Hala kali Ke-16 ini diadakan bagi memperkukuhkan hubungan erat Malaysia–Brunei dalam memerangi rasuah, termasuk melalui pelaksanaan kerjasama teknikal, program latihan profesional serta pertukaran kepakaran dalam pencegahan dan pendakwaan kes rasuah.

Dalam sesi pertemuan itu SPRM membentangkan pelaksanaan “Ops Sky” dalam slot perkongsian operasi siasatan, manakala program “Keep Malaysia Clean – (KMC)” dikongsi sebagai contoh usaha pencegahan berskala nasional bagi membina masyarakat bebas rasuah.

Sementara itu, ACB pula membentangkan hasil operasi mereka termasuk kejayaan menangani kes salah laku dalam kalangan pegawai awam di dalam badan-badan awam melalui perundangan Misconduct of Public Office (MIPO) serta inisiatif memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam di Brunei.

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Penekanan terhadap usaha pemulihan aset menjadi agenda penting SPRM
  • SPRM bersedia menawarkan sokongan teknikal menggunakan teknologi penyiasatan terkini
  • SPRM berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam operasi siasatan dan pencegahan rasuah
  • Mesyuarat Bilateral Ke-16 antara SPRM dan Anti-Corruption Bureau Brunei memperkukuh kerjasama strategik
  • Mesyuarat bertujuan memperkukuh hubungan Malaysia-Brunei dalam memerangi rasuah melalui pelbagai inisiatif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!