Farah Nini dilantik semula Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam

Dr Farah Nini Dusuki.
Dr Farah Nini Dusuki.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan memperkenankan pelantikan semula Dr Farah Nini Dusuki sebagai Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 28 Jun lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pelantikan tersebut dibuat selaras dengan subseksyen 5(2) dan 6A Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597], serta telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Dr Farah Nini akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM sehingga 8 Mac 2026, susulan pelantikan semula beliau selama tiga tahun,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shamsul Azri turut memaklumkan pelantikan dua lagi individu sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak iaitu Dr Mohd Al Adib Samuri dan Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah.

Menurut beliau, kedua-dua mereka telah turut diperkenankan bagi menggalas peranan penting dalam memperkukuh perlindungan hak serta kebajikan kanak-kanak di negara ini.

Sementara itu, Melissa Mohd Akhir dilantik sebagai anggota Suruhanjaya yang akan bertanggungjawab terhadap portfolio kanak-kanak di Semenanjung Malaysia secara pentadbiran.

“Kerajaan yakin pelantikan ini akan memperkasa agenda hak asasi kanak-kanak selaras dengan komitmen Malaysia dalam memelihara kepentingan golongan tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!