Covid-19: 10 ahli Parlimen desak khidmat MPP tidak ditamatkan

Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan mendesak perkhidmatan MPP sedia ada tidak ditamatkan terutama ketika wabak Covid-19 melanda negara ini.
Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan mendesak perkhidmatan MPP sedia ada tidak ditamatkan terutama ketika wabak Covid-19 melanda negara ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dalam satu kenyataan bersama mendesak perkhidmatan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) sedia ada tidak ditamatkan terutama ketika wabak koronavirus (Covid-19) melanda negara ini.

Mereka yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh Tseow Suan; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Menurut 10 ahli Parlimen tersebut, hari ini mereka dimaklumkan perkhidmatan semua ahli MPP di kawasan parlimen sudah dihentikan berkuat kuasa Isnin lalu.

Menurut mereka, tindakan itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini adalah tidak patut dan kejam.

“Ini kerana sejak ahli MPP dilantik pada Januari tahun lalu, mereka telah berkhidmat kepada semua penduduk Kuala Lumpur (KL) dan Labuan tanpa mengira kaum, agama, mahupun fahaman politik.

“Penduduk KL dan Labuan telah mengenali mereka dan mengharapkan bantuan khidmat masyarakat dari MPP,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kesemua ahli Parlimen tersebut, pada waktu ini MPP juga sedang dikerah untuk membantu rakyat dalam pelbagai program sumbangan kebajikan.

Kata mereka, penukaran MPP hanya akan melambatkan penyampaian sumbangan yang diperlukan terutama dalam kalangan golongan miskin bandar.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, kami menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengutamakan rakyat ketika ini, memberi pertimbangan khusus dan tidak menamatkan perkhidmatan MPP sedia ada. Penukaran MPP hanya akan menimbulkan keresahan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” kata mereka.