Sabah masih bergantung kepada calon senior

SHAH ALAM - Angka rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai komposisi umur semua 596 calon yang bertanding mendedahkan realiti politik Sabah yang masih bergantung kepada tokoh berpengalaman yang sudah berusia berbanding keberanian memberi ruang kepada mereka yang lebih muda.
Berdasarkan data itu, seramai 205 calon berusia 60 tahun ke atas diikuti 178 calon (50-59 tahun), 146 calon (40-49 tahun), 59 calon (30-39 tahun) dan lapan calon (20-29 tahun).
Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM, Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, angka tersebut jelas menetapkan satu konklusi bahawa calon berusia masih lagi dijadikan rujukan utama dalam politik Negeri Di Bawah Bayu itu berbanding calon yang jauh lebih muda.
“Situasi ini memperlihatkan kerelevanan calon berusia ini memang tidak dapat disisihkan dalam konteks politik di Sabah dan politik negeri itu kekal di bawah dominasi orang berusia.
“Perkara ini berlaku mungkin disebabkan parti-parti di negeri tersebut berangggapan orang muda sukar mendapat perhatian meluas melainkan mereka benar-benar boleh mencipta satu kejutan yang akan membuatkan mereka dijadikan sebagai satu figura sandaran,” katanya.
Tokoh yang sudah berumur juga menjadi rujukan utama dalam kalangan pemain politik ekoran pengalaman dan sumbangan yang dicurahkan kepada parti masing-masing.
Ariff Aizuddin menjelaskan, keadaan tersebut memberi satu kelebihan kepada mereka kerana dipandang sebagai senior dan paling jelas kerana mereka mempunyai pengikut yang ramai serta sokongan agak kukuh di peringkat akar umbi sekali gus menjadikan kedudukan mereka kekal relevan.
“Calon berusia ini juga memang mempunyai harapan untuk menang di kerusi DUN yang ditandingi kerana jika dilihat rekod pencapaian masing-masing, mereka mencatatkan prestasi yang agak baik.
“Dalam konteks ini, saya berpendapat Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang sangat tinggi untuk mengekalkan kemenangan beliau di kerusi DUN Lamag dan ia berasaskan kepada rekod, pencapaian dan sokongan ke atas beliau pada musim PRN sebelum ini,” ujarnya.
Beliau turut berpandangan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak daripada BN yang juga bekas Menteri Komunikasi berpotensi mencatatkan prestasi baik di kerusi DUN Usukan.
“Saya percaya dan yakin bahawa kedua-dua figura berusia ini mampu untuk mencipta kejutan politik semasa hari pengundian PRN Sabah pada 29 November depan.
“Bagaimanapun, keadaan dominasi calon berusia itu turut dikhuatiri menutup pintu politik bagi golongan muda di luar sana dan perkara tersebut menjadi sesuatu yang tidak sihat bagi perkembangan demokrasi kerana suara anak muda juga mempunyai nilai yang tersendiri,” ujarnya.
Beliau berkata, berdasarkan data calon yang bertanding juga, peluang dan ruang kepada calon wanita disifatkan sebagai jauh lebih kecil iaitu hanya 71 orang berbanding calon lelaki yang seramai 525 orang.
“Tapi sebenarnya fenomena ketidaksamaan ini juga bukanlah satu perkara baharu dalam konteks persaingan politik kerana jurang ini juga boleh dilihat dalam PRN lain.
“Saya melihat ini sesuatu yang tidak boleh dielakkan meskipun terdapat banyak gesaan dan kempen untuk memeriahkan pesta politik dengan penyertaan lebih ramai wanita namun tetap lelaki juga yang mendominasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

