Cabaran MIC tentu identiti politik baharu

Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran (kanan) bersama Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr M Saravanan (kiri) hadir pada Majlis Mesyuarat Perhimpunan Agung MIC Ke-79 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad. Foto Bernama
Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran (kanan) bersama Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr M Saravanan (kiri) hadir pada Majlis Mesyuarat Perhimpunan Agung MIC Ke-79 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 untuk menangguhkan ketetapan keluar atau kekal dalam Barisan Nasional (BN) mencerminkan hakikat bahawa parti itu sedang berdepan dengan titik kritikal dalam sejarah politiknya.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran pada Ahad berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Jelas beliau, perwakilan setiap negeri berhak mengusulkan perkara tersebut, namun keputusannya perlu diteliti CWC terlebih dahulu.

Sekiranya usul keluar daripada BN terjadi, kata Vigneswaran, pihaknya terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti selain Perikatan Nasional (PN), berkemungkinan Pakatan Harapan (PH).

Beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan penurunan ketara pengaruh BN dalam politik nasional, terutama selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15.

MIC yang sebelum ini bergantung kepada kekuatan gabungan itu kini berdepan realiti baharu di mana BN bukan lagi platform stabil yang memberikan jaminan kemenangan atau kedudukan tawar-menawar yang kukuh.

Dengan akar sokongan MIC yang semakin mengecil, langkah menilai semula kesetiaan kepada BN bukan lagi soal pilihan, tetapi keperluan survival dalam landskap politik masa kini.

Kesediaan MIC untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk PH wajar dilihat sebagai satu gerakan menarik dari parti itu.

Dari sudut PH terdapat beberapa faktor yang menjadikan gabungan itu sebagai pilihan lebih munasabah di mana PH lebih inklusif dan sederhana.

Artikel Berkaitan:

Ia sekali gus menjadikan PH lebih sesuai dengan naratif politik MIC yang berasaskan representasi minoriti.

Namun begitu, terdapat juga kemungkinan di mana MIC boleh memilih menjadi parti bebas untuk menilai peluang yang ada ketika ini.

MIC kini berdepan cabaran menentukan identiti politik baharu dalam landskap baharu. Pilihan antara kekal dalam BN, bekerjasama dengan PH, atau bergerak secara bebas menuntut penilaian yang bukan hanya strategi, tetapi juga psikologi politik pengundi India.

Apa juga keputusan CWC kelak, ia bakal menjadi penentu sama ada MIC kekal sebagai komponen nasional atau sekadar memori dalam sejarah politik negara.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!