'Dakwaan liar, bermotif politik' - Pejabat MB Selangor

SHAH ALAM - Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan dakwaan liar dalam sebuah kumpulan WhatsApp melibatkan seorang pegawainya disifatkan berniat jahat dan bermotifkan politik.
Pejabat Menteri Besar Selangor menjelaskan, dakwaan itu dibuat ketika Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sedang membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat lalu.
"Dakwaan ini jelas berunsurkan fitnah, menyeleweng dan tidak berfakta atau pun sebarang asas," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, kenyataan itu memaklumkan, laporan kepada pihak berkuasa berkenaan fitnah itu akan dibuat oleh pegawai terbabit.
"Laporan itu sebagai elemen kebertanggungjawaban untuk sama-sama memperbetulkan fokus kepada agenda membangunkan negeri dan mengangkat martabat rakyat, bukan dengan politik tidak matang melalui pembinaan persepsi jahat, liar dan palsu," jelas kenyataan itu.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan sebuah kumpulan WhatsApp dinamakan 'MB Selangor' mengumpulkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, pembangkang dan pemimpin parti dari negeri itu semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2026 pada Jumaat.
Terdapat pelbagai tuduhan antaranya mengenai kekayaan mendadak dan pelantikan ke jawatan berkaitan kerajaan negeri terhadap pemimpin terbabit.
Ringkasan AI
- Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan dakwaan liar mengenai seorang pegawainya dalam kumpulan WhatsApp
- Dakwaan itu dibuat ketika Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan 2026
- Dakwaan tersebut disifatkan sebagai fitnah dan tidak berfakta
- Pegawai terbabit akan membuat laporan kepada pihak berkuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

