Israel cuba ganti agensi bantuan PBB dengan badan bermotif politik - UNRWA

UNRWA dakwa kebuluran di Gaza berpunca usaha Israel lumpuhkan sistem bantuan PBB dan gantikan dengan GHF.
UNRWA dakwa kebuluran di Gaza berpunca usaha Israel lumpuhkan sistem bantuan PBB dan gantikan dengan GHF.
A
A
A

NEW YORK - Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarin pada Sabtu berkata, kebuluran di Gaza adalah usaha sengaja Israel untuk melumpuhkan sistem bantuan kemanusiaan diterajui PBB serta menggantikannya dengan badan alternatif bermotifkan politik yang dikenali sebagai "Gaza Humanitarian Foundation” (GHF).

Dalam satu hantaran di akaun rasminya di platform X, Lazzarini memberi amaran bahawa kebuluran buatan manusia di Gaza "sebahagian besarnya disebabkan percubaan untuk menggantikan sistem bantuan kemanusiaan diselaraskan PBB dengan ‘GHF’ bermotifkan politik - satu ‘sistem bantuan’ yang bertanggungjawab atas kematian hampir 1,400 orang yang sedang kelaparan,” lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Beliau menegaskan bahawa keadaan semakin parah sejak UNRWA dilarang mengagihkan sebarang bantuan ke Gaza bermula 2 Mac.

"UNRWA, yang menjadi tulang belakang tindak balas kemanusiaan dihalang daripada membawa masuk sebarang bantuan selama berbulan-bulan,” katanya.

Lazzarini menyeru tindakan segera di peringkat antarabangsa: "Tiada masa lagi untuk dibazirkan - satu keputusan politik mesti dibuat bagi membuka lintasan sempadan tanpa syarat.

"UNRWA mempunyai pengalaman, kakitangan dan sumber untuk berperanan sepenuhnya dan memulihkan situasi kebuluran ini.” - Bernama/Wafa

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!