Sindiket menyamar pegawai imigresen perdaya majikan, guna nombor ‘dummy’

Zakaria
Zakaria
A
A
A

PUTRAJAYA – Sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai imigresen dikesan menggunakan nombor telefon pakai buang atau 'dummy' bagi memperdaya majikan kononnya mereka boleh membebaskan pekerja asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan semakan awal, sindiket itu bergerak secara licik dengan modus operandi menggunakan aplikasi WhatsApp yang memaparkan gambar profil pegawai imigresen atau logo rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Sindiket kemudian akan menghubungi majikan untuk memperdaya mereka agar percaya bahawa kononnya mereka boleh membebaskan pekerja asing yang sedang ditahan oleh pihak JIM,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Zakaria menegaskan bahawa JIM sentiasa memantau sebarang cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyamar sebagai pegawai jabatan itu.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi memastikan sebarang unsur penipuan atau penyalahgunaan identiti pegawai JIM dapat dielakkan,” katanya.

Menurutnya, pihak JIM akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjejak individu yang terlibat serta memastikan tindakan tegas dapat diambil mengikut undang-undang.

“Untuk rekod, beberapa laporan polis telah dibuat berkenaan perkara ini,” ujarnya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan bahawa JIM telah mengesan taktik sindiket penipuan tersebut.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin dipetik sebagai berkata bahawa sindiket yang berperanan sebagai ‘orang tengah’ itu mengambil kesempatan setiap kali operasi dijalankan oleh pihaknya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sindiket terbabit akan meminta bayaran melalui aplikasi Touch ‘n Go atau secara tunai, kononnya bagi tujuan membebaskan pekerja asing yang ditahan.

Majikan dipercayai telah membuat bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap seorang pekerja tanpa pemeriksaan lanjut, namun apabila hadir ke pejabat imigresen di Shah Alam, nombor telefon yang digunakan untuk urusan tersebut sudah tidak lagi aktif.

Tambahnya, kegiatan penipuan itu dikesan aktif sejak sebulan lalu dan telah menyebabkan kerugian kira-kira RM57,000 kepada beberapa majikan yang terpedaya.

Ringkasan AI

  • Sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai imigresen menggunakan nombor telefon pakai buang untuk memperdaya majikan
  • Modus operandi melibatkan aplikasi WhatsApp dengan gambar profil pegawai imigresen atau logo Jabatan Imigresen Malaysia
  • Majikan dipercayaikan bahawa sindiket boleh membebaskan pekerja asing yang ditahan dengan membuat bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000
  • Jabatan Imigresen Malaysia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk menjejak dan mengambil tindakan terhadap sindiket
  • Kegiatan penipuan menyebabkan kerugian kira-kira RM57,000 kepada beberapa majikan dalam masa sebulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!