Sindiket menyamar pegawai imigresen perdaya majikan

PETALING JAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan taktik sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai imigresen bagi memperdaya majikan untuk mendapatkan wang dengan janji kononnya boleh membebaskan pekerja asing mereka yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, sindiket yang berperanan sebagai ‘orang tengah’ itu mengambil kesempatan setiap kali operasi dijalankan pihaknya.
Menurutnya, sindiket itu akan meminta bayaran melalui aplikasi Touch ‘n Go atau secara tunai dengan alasan untuk membebaskan pekerja asing yang ditahan.
“Setiap kali kita buat operasi, akan ada scammer atau pihak berkepentingan yang menyalahgunakan nama imigresen dengan membuat panggilan kepada majikan dan mengaku sebagai pegawai imigresen Selangor.
"Majikan akan membuat bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap seorang pekerja tanpa pemeriksaan lanjut, namun apabila hadir ke pejabat imigresen di Shah Alam, nombor telefon yang digunakan untuk urusan pembayaran sudah tidak aktif,” katanya pada pemberita selepas menyertai operasi penguatkuasaan JIM di Pelangi Damansara, Petaling Jaya di sini pada Khamis.

Khairrul Aminus berkata, sindiket terbabit turut menggunakan nama dan gambar pegawai imigresen sebenar bagi meyakinkan majikan supaya membuat bayaran.
Tambahnya, kegiatan penipuan itu dikesan aktif sejak sebulan lalu dan menyebabkan kerugian kira-kira RM57,000 kepada beberapa majikan yang terpedaya.
Jelas beliau, beberapa laporan polis telah dibuat dan menegaskan semua majikan tidak berurusan dengan pihak ketiga bagi urusan imigresen.
“Kita menasihatkan kepada majikan, sekiranya ada mana-mana pekerja mereka yang ditahan di mana-mana operasi yang kita laksanakan, jangan mudah percaya kepada panggilan atau SMS yang meminta bayaran untuk melepaskan pekerja. Sebarang keraguan, terus datang ke pejabat imigresen untuk membuat pemeriksaan lanjut," ujarnya.
Katanya lagi, sekiranya pekerja warga asing ditahan, majikan perlu hadir bersama dokumen asal untuk urusan semakan dan pembebasan mengikut prosedur sah.
“Kebanyakan mereka ini ada dokumen yang sah namun pasport mereka dipegang oleh majikan, jadi majikan perlu membawa pasport asal ke jabatan (JIM) dan kita akan ambil tindakan mengikut prosedur sebenar,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Malaysia mengesan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai imigresen
- Sindiket meminta bayaran melalui Touch 'n Go atau tunai untuk membebaskan pekerja asing
- Majikan terpedaya membuat bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 untuk setiap pekerja
- Kerugian akibat penipuan ini kira-kira RM57,000 sejak sebulan lalu
- Majikan disarankan membawa dokumen asal ke JIM untuk urusan semakan dan pembebasan pekerja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
