'Saya akan turun ke Sabah bantu kawan lama' - KJ

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan bahawa beliau bakal turun ke Sabah bagi membantu menggerakkan kempen calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, meskipun status kemasukan semula dirinya ke dalam UMNO masih menjadi tanda tanya.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, kedatangannya ke Sabah adalah atas jemputan rakan seperjuangan yang pernah bersama beliau dalam Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ya, saya akan turun (ke Sabah). Saya ada terima jemputan dan permintaan daripada kawan-kawan lama yang pernah bersama saya dahulu,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Larian Keluarga Malaysia 2025 yang berlangsung di Padang Merbok, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

Pada masa sama, ketika ditanya berhubung penyertaan semula ke dalam UMNO, Khairy atau lebih mesra dikenali sebagai KJ bagaimanapun hanya memberikan respons ringkas.

“Belum lagi, saya pun belum menerima apa-apa (makluman),” ujarnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa KJ berhasrat untuk kembali menyertai UMNO dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Sumber UMNO Selangor yang rapat dengan KJ turut mengesahkan perkara berkenaan kepada Sinar Harian, memaklumkan bahawa bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyatakan kesediaan untuk membincangkan kaedah terbaik agar dapat kembali ke pangkuan parti.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • KJ mengesahkan akan ke Sabah untuk membantu kempen pilihan raya
  • Kedatangan khairy berdasarkan jemputan rakan seperjuangannya dari UMNO dan BN
  • Beliau memberikan respons singkat tentang kemungkinan kembali ke UMNO
  • Khairy belum menerima makluman tentang penyertaan semula ke dalam UMNO
  • Khairy sebelumnya menunjukkan hasrat untuk kembali ke UMNO pada pertemuan tidak rasmi dengan Presiden UMNO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!