PRN Sabah: Penyandang DUN Petagas tanding bebas, tentang adik sendiri

PUTATAN - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari membuat kejutan dengan muncul sebagai calon bebas pada hari penamaan calon, sekali gus menentang adiknya yang juga calon daripada Pakatan Harapan (PH), Awang Husaini.
Menurut beliau, keputusan itu sebagai satu proses demokrasi yang harus diraikan dan ia bukan dibuat atas kehendak peribadi, sebaliknya berdasarkan permintaan rakyat yang mahu beliau meneruskan usaha dan khidmat yang dijalankan di DUN Petagas sejak lima tahun lalu.
"Ekoran perkhidmatan yang begitu baik sebelum ini tanpa memilih bangsa, agama, keturunan dan sekalipun parti politik, hari ini saya diminta oleh rakyat di kawasan DUN Petagas ini untuk bertanding bebas kerana Petagas ini kita yang jaga.
"Saya tidak melihat pertembungan adik beradik ini sebagai satu masalah, kerana saya melihat dari konteks pengundi sama ada keluarga saya atau pengundi di Peragas ini yang dianggap keluarga.
"Saya tidak ada memujuk atau merayu mana-mana jentera atau rakyat untuk menyokong saya bertanding sebagai calon bebas, duduk dengan tenang dan rakyat mahukan saya bertanding sebagai calon bebas.
"Saya bertanding ini bukan kerana nafsu dan hasrat saya kerana mahu jadi YB (Yang Berhormat) tetapi ini satu aspirasi rakyat di Petagas," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Putatan, di sini, pada Sabtu.
Ditanya mengenai tindakan yang dikenakan oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Awang Ahmad Sah menjelaskan perkara itu tidak timbul kerana beliau sudah terlebih dahulu meletakkan jawatan.
"Saya telah menghantar surat perletakkan jawatan kepada Presiden iaitu pada 12 hari bulan. Saya sendiri yang hantar surat kepada Ketua Menteri, meletakkan jawatan sebagai ahli parti dan juga sebagai ketua bahagian di Tanjung Aru.
"Jadi tidak ada yang perlu saya risau untuk dipecat atau apa. Saya sudah meletak jawatan, saya tidak perlu dipecat lagi," katanya.
Ditanya sama ada keyakinannya dipengaruhi sejarah calon bebas yang pernah menang sebelum ini, beliau mengakui ia antara faktor tetapi bukan satu-satunya.
"Ya, antaranya. Tetapi saya sangat teliti. Saya tidak buat keputusan terburu-buru. Saya bincang dan bermesyuarat dengan seluruh jentera, rakan-rakan dan penyokong-penyokong. Tidak ada seorang pun yang tidak menyokong," katanya.
Beliau berkata, proses berpindah sebagai calon bebas lebih mudah kerana sokongan kuat di peringkat akar umbi.
"Saya pindah ini pun kalau saya bawa mereka, semua orang ini akan meletak jawatan. Tapi saya pilih saya saja yang letak jawatan. Jadi laluannya tidak begitu sukar dan saya sangat yakin.
"Tetapi apa pun, semua ini terserah kepada rakyat. Kita hanya bekerja, kita boleh yakin, tetapi akhirnya yang menentukan kemenangan ini adalah rakyat. Kalau saya menang, itu adalah kemenangan daripada rakyat. Bila saya menang, rakyatlah yang menang," katanya.
Sebelum itu, DUN Petagas bakal menyaksikan pertandingan 10 penjuru termasuk melibatkan dua beradik iaitu Awang Ahmad Sah dan adiknya, Awang Husaini pada hari pengundian pada 29 November ini.
Sementara itu, usaha bagi mendapatkan Awang Husaini tidak berhasil apabila beliau dan penyokong termasuk pengiring dari PH iaitu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah beredar lebih awal dari pusat penamaan calon tersebut.
Ringkasan AI
- Datuk Awang Ahmad Sah Sahari bertanding sebagai calon bebas menentang adiknya dalam Pilihan Raya
- Keputusannya bertanding berdasarkan permintaan rakyat di DUN Petagas untuk meneruskan khidmat
- Beliau tiada memujuk rakyat untuk menyokongnya sebagai calon bebas
- Awang Ahmad Sah telah meletakkan jawatan di parti dan sebagai ketua bahagian sebelum bertanding
- Keputusan bertanding dan kemenangan dikatakan bergantung kepada kehendak rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
