PRN Sabah: Laungan 'kita lawan' iringi Fairuz, tanding bebas pertahan kerusi DUN Pintasan

KOTA BELUD - Kemunculan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan di pusat penamaan calon bersama kira-kira 2,000 penyokong yang melaungkan perkataan 'kita lawan' menjadi petanda jelas bahawa beliau bangkit untuk mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Beliau yang hadir memakai kemeja-T berwarna hitam turut membuat kejutan apabila menghantar borang penamaan calon untuk bertanding sebagai calon bebas di DUN Pintasan.
Difahamkan, keputusan bertanding atas tiket bebas dibuat selepas namanya digugurkan daripada senarai calon Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memberi laluan kepada Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk mewakili gabungan itu di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Fairuz yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada parti berkenaan pada Jumaat.
Beliau berkata, pejabat parti turut mengesahkan penerimaan surat peletakan jawatan yang disandang.
“Saya sudah hantar surat letak jawatan bagi jawatan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Pintasan dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah.
“Pejabat sudah menerima surat peletakan jawatan saya pada pukul 2.45 petang,” katanya ringkas kepada pemberita ketika proses penamaan calon di Dewan Tun Said Keruak di sini pada Sabtu.
Sebelum itu, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohammad Razali Razi, mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana ahli parti yang bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 akan dipecat serta-merta.
Ringkasan AI
- Kemunculan Fairuz bersama 2,000 penyokong menandakan kesungguhan beliau mempertahankan kerusi DUN Pintasan
- Fairuz menghantar borang sebagai calon bebas selepas digugurkan dari senarai calon GRS
- Keputusan bertanding sebagai calon bebas dibuat susulan pencalonan Tan Sri Pandikar Amin oleh GRS
- Fairuz mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan dari Parti Gagasan Rakyat Sabah
- Mana-mana ahli Gagasan Rakyat yang bertanding bebas di PRN Sabah akan dipecat serta-merta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
