PRN Sabah: Liawan, Bingkor saksikan pertembungan 10 penjuru

Jeffrey (kanan) yang juga Ahli Parlimen Keningau sekali lagi mempertaruhkan pengaruh dan rekod perkhidmatannya untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya itu dengan berdepan pertandingan tujuh penjuru. Foto Bernama
Jeffrey (kanan) yang juga Ahli Parlimen Keningau sekali lagi mempertaruhkan pengaruh dan rekod perkhidmatannya untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya itu dengan berdepan pertandingan tujuh penjuru. Foto Bernama
A
A
A

KENINGAU - Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Keningau menyaksikan persaingan sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 apabila pertarungan di semua kawasan itu melibatkan sekurang-kurang tujuh penjuru.

Pengumuman rasmi calon-calon yang bertanding melibatkan DUN Tambunan, Bingkor dan Liawan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Peter Jonu @ Peter Jonu Moinjil di Dewan Masyarakat Keningau di sini pada Sabtu.

Liawan merekodkan 10 calon bertanding dan dijangka menjadi antara fokus pada pentas PRN kali ini, apabila penyandangnya, iaitu calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Annuar Ayub Aman berdepan sembilan pencabar dalam usahanya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Antara pesaing beliau ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, Adzhar Jasni @ Eddy mewakili Parti Warisan (Warisan), Johny @ John Anthony (Perikatan Nasional (PN)) dan Peter Paun (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM)).

Turut menjadi perhatian adalah pertandingan di Bingkor apabila calon GRS, Rafie Robert berdepan cabaran sengit 10 penjuru dalam usahanya mempertahankan kerusi yang disandang bapanya, Datuk Robert Tawik.

Rafie yang juga Setiausaha Pemuda GRS pusat, antaranya akan berdepan calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Mohd Ishak Ayub, Benedict Martin Gunir (Warisan) dan Niklos Ongoh (KDM).

Di Tambunan, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Ahli Parlimen Keningau sekali lagi mempertaruhkan pengaruh dan rekod perkhidmatannya untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya itu dengan berdepan pertandingan tujuh penjuru.

Antara pencabarnya ialah Datuk Victor P Paut yang mewakili GRS, Dionysia Ginsos bawah tiket Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Bianus Kontong (Warisan) dan Jaikol Tagua (KDM).

Sementara itu, Peter berkata, tiada kertas penamaan calon yang ditolak bagi ketiga-tiga DUN berkenaan sepanjang proses yang berlangsung dari 9 hingga 10 pagi itu.

Artikel Berkaitan:

Hari pengundian bagi PRN ke-17 yang membabitkan 73 kerusi DUN itu ditetapkan pada 29 November manakala undi awal pada 25 November.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini, merangkumi 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Keningau menyaksikan pertarungan sekurang-kurang tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17
  • Liawan menjadi fokus dengan 10 calon bertanding termasuk penyandang dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Annuar Ayub Aman
  • Bingkor menyaksikan pertarungan 10 penjuru dengan Rafie Robert dari GRS cuba mempertahankan kerusi tersebut
  • Di Tambunan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dari STAR kembali bertanding untuk mengekalkan kerusinya dengan berhadapan pertarungan tujuh penjuru

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!