Tradisi 70 tahun: Nelayan Sabak gotong-royong tarik perahu kolek hadapi monsun
Tempoh rehat waktu musim tengkujuh diguna untuk membaiki kerosakan dan mengecat perahu

KOTA BHARU – Menjelang kemuncak Monsun Timur Laut (MTL), suasana di Pangkalan Sabak di sini sekali lagi meriah dengan tradisi tahunan apabila nelayan dan penduduk kampung bergotong-royong menarik perahu kolek ke darat sebagai persiapan menghadapi musim laut bergelora.
Nelayan, Nik Ruzullaili Nik Yusoff, 45, berkata, aktiviti menarik perahu itu sudah menjadi amalan turun-temurun sejak lebih 70 tahun lalu dan masih dikekalkan walaupun jumlah perahu kolek semakin berkurangan.
“Dulu ada lebih 50 perahu, sekarang tinggal 22 sahaja, tapi semangat gotong-royong itu masih sama.
“Musim tengkujuh memang tak boleh turun ke laut, jadi inilah masa untuk tarik naik, cuci dan baiki bot,” katanya kepada pemberita.
Nik Ruzullaili yang juga Ketua Jaringan Perikanan Sabak dan Pulau Gajah memaklumkan, proses menarik perahu kolek bermula dengan menanggalkan enjin sebelum 30 hingga 40 orang mengerah tenaga menarik bot keluar dari sungai menggunakan tali dan buluh.

Menurutnya, keadaan air pasang siang ketika itu memudahkan kerja mendaratkan perahu yang diperbuat daripada kayu cengal dan beratnya mencecah antara satu hingga tiga tan setiap satu.
Katanya, sebanyak 22 perahu kolek ditarik oleh 50 individu secara berperingkat sejak jam 8 pagi, Sabtu.
“Batang kayu bakau, celagi dan kelapa disusun sebagai ‘landasan’ yang berfungsi seperti roda ketika perahu ditarik.
“Kami tarik semasa air pasang kerana perahu berada lebih tinggi di permukaan air,” ujarnya.
Selepas semua perahu berjaya didaratkan, kerja-kerja membaik pulih termasuk mengecat bahagian bawah perahu kolek dan membaiki kerosakan akan dilakukan sehingga tamat musim monsun sekitar Februari ini.
Bagi pemilik bot, Azmi Abdullah, 55, perahu kolek tidak boleh dibiarkan terendam terlalu lama kerana boleh menyebabkan kayu reput dan bocor.
Katanya, pada musim tengkujuh, nelayan akan berehat dan menggunakan masa tersebut untuk membaiki perahu, bermakna tiga bulan tiada pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM300 yang diberikan kerajaan, selain simpanan sedia ada.
“Empat anak saya masih bersekolah, seorang di universiti, jadi kena berjimat,” katanya.
Sementara itu, nelayan berpengalaman lebih 55 tahun, Zakaria Abdullah, 68, berkata, perahu kolek bukan sekadar alat mencari rezeki, tetapi warisan yang perlu dijaga.
Menurutnya, perahu kolek miliknya sepanjang 11.28 meter dibeli dari Thailand sekitar awal 1990-an dengan harga RM5,000 sebelum menjalani proses baik pulih selama dua tahun yang menelan kos lebih RM20,000.
“Saya besarkan 12 anak dengan jasa tangkap ikan guna perahu kolek ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Penduduk kampung bergotong-royong menarik perahu kolek ke darat menjelang kemuncak Monsun Timur Laut sebagai persiapan menghadapi musim laut bergelora
- Tradisi menarik perahu kolek ke darat adalah amalan turun-temurun lebih dari 70 tahun di Pangkalan Sabak dan masih dikekalkan
- Jumlah perahu kolek telah berkurang dari lebih 50 buah kepada 22 buah tapi semangat gotong-royong kekal sama
- Proses menarik perahu melibatkan 30 hingga 40 orang dan menggunakan batang kayu sebagai landasan untuk memudahkan kerja
- Kerja membaik pulih termasuk mengecat dan membaiki kerosakan dilakukan setelah perahu didaratkan, yang mana pemilik bergantung pada bantuan bulanan kerajaan selama musim tengkujuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

