Jenazah pelajar IPG lemas disemadikan dalam suasana pilu

SUNGAI PETANI – Jenazah Muhammad Hazmi Othman, 19, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail yang maut akibat lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya di Sungai Pelong, Setiu, Terengganu selamat dikebumikan pagi Sabtu.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang, Sungai Lalang di sini kira-kira jam 9.30 pagi dengan diiringi lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara, kenalan dan rakan seperjuangan.
Terdahulu, jenazah tiba dari Terengganu sekitar jam 6.30 pagi sebelum dibawa ke Masjid Al Makmur, Sungai Lalang untuk disolatkan.

Solat jenazah diimamkan oleh abang kandung Allahyarham, Dhiyauddin Othman, 27, dalam suasana penuh hiba dan pilu.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila ahli keluarga dan rakan-rakan tidak dapat menahan sebak ketika jenazah diturunkan ke liang lahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi Jumaat, Muhammad Hazmi dilaporkan cuba menyelamatkan rakannya, Adam Arief Jazlansanadi, 19, yang tergelincir dan lemas ketika mandi di Sungai Pelong, berhampiran Kampung Basong, Setiu.
Bagaimanapun, usaha murni itu berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka ditemukan lemas oleh pasukan penyelamat.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris mengesahkan kedua-dua mangsa adalah sebahagian daripada 24 pelajar IPG yang sedang melakukan program di sungai terbabit.
Ringkasan AI
- Muhammad Hazmi Othman, pelajar IPG, maut akibat lemas ketika cuba menyelamatkan rakan
- Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang, Sungai Lalang
- Jenazah tiba dari Terengganu dan disolatkan di Masjid Al Makmur, Sungai Lalang
- Solat jenazah diimamkan oleh abang kandung Allahyarham dalam suasana hiba
- Muhammad Hazmi dan rakan lemas ketika mandi di Sungai Pelong, Setiu dalam program pelajar IPG
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

