'Berita palsu Covid-19 ganggu fikiran rakyat' - Mazlan

Datuk Mazlan Mansor
Datuk Mazlan Mansor
A
A
A

KUALA LUMPUR- Penyebaran berita palsu antara perkara yang mengganggu fikiran rakyat yang ketika ini menghadapi saat getir dengan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Lebih mencabar apabila ada pihak yang mencetuskan suasana panik dengan menularkan berita tidak sahih mengenai pandemik itu yang sedang melanda bukan sahaja dalam negara tetapi ke seluruh dunia ketika ini menggunakan media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, penularan berita palsu menyebabkan jiwa rakyat terganggu.

"Apa yang kita lihat berhubung penyebaran berita palsu ini, sebanyak 95 kertas siasatan telah dibuka dan enam orang telah dituduh di mahkamah dengan empat daripadanya mengaku salah malah bakinya masih dalam siasatan.

“Kebanyakan yang terlibat menggunakan media sosial yang sememangnya cukup bahaya dan kita akan ambil tindakan tangkap mereka dan masuk lokap,"katanya ketika ditemubual pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) dalam segmen khas bertajuk Cabaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tangani Covid di TV3 hari ini.

Mazlan menambah, polis mengambil perhatian serius kerana melalui berita palsu itu, pihak berkenaan melemparkan tohmahan dan kejian tentang negara serta ada yang menggugat kedaulatan negara.

"Bukan itu sahaja, kita sendiri (PDRM) turut menerima kata-kata cemuhan dan ada satu dua kes melibatkan hal ini.

"Kepada mereka yang licik, kata boleh buat akaun palsu (fake account) kononnya polis tidak dapat kesan, cubalah!. Kita akan kesan mereka dan siasat sampai dapat," tegasnya.

Dalam pada itu Mazlan berkata, sepanjang tempoh ini, pihaknya turut mengesan penipuan melibatkan jualan topeng muka dengan 393 kes dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

"Nilai kerugian berjumlah RM 1.1 juta dan siasatan telah dibuat dengan 26 pelaku telah ditangkap serta beberapa kes telah dituduh di mahkamah.

"Dalam keadaan situasi kita yang seperti ini pun, masih lagi ada pihak yang ambil kesempatan dan ini amat serius," katanya lagi.

Mazlan bagaimanapun memuji sikap orang awam yang ingin membantu PDRM berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani penularan wabak berkenaan.

Menurutnya, melalui hantaran Facebook yang dibacakan oleh pengacara MHI pagi tadi, beliau teruja dengan perkara itu.

"Kita harap masyarakat patuhi PKP yang merupakan sumbangan terbesar kepada negara. Walaupun pihak PDRM sendiri masih samar tentang rantaian wabak ini, malah mungkin boleh menjangkiti anggota di lapangan atau di pejabat, namun kita tidak pernah menerima rungutan daripada mereka (polis) ketika melaksanakan tugas, “katanya.

Menurutnya, cogan kata 'Sedia Berkhidmat' merupakan antara kekuatan pasukan PDRM dalam menangani situasi getir ini dan dalam usaha melaksanakan PKP ini, bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai agensi lain amat dihargai.

"Gandingan pihak berkuasa PDRM dan ATM adalah pasukan yang cukup kuat dalam mengatasi masalah ini dan kita akan cuba laksanakan dengan baik. Tempoh lanjutan PKP selama 14 hari tidak menghalang kita meneruskan tugas dengan menyuntik semangat kepada pasukan agar terus berkhidmat di samping sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan.

"Oleh itu sepanjang tempoh ini kita mengharapkan kerjasama semua pihak dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini,“ katanya.

Di akhir bicaranya Mazlan berkata, sempena Sambutan Hari Polis yang ke-213, beliau berpesan kepada rakyat supaya duduk di rumah (stay at home) dan pihaknya tidak berkompromi serta akan melaksanakan tindakan tegas mengikut undang-undang termaktub terhadap mereka yang degil.