Kelantan rangka draf syarat mendulang emas

KOTA BHARU - Kelantan sedang merangka draf syarat untuk membolehkan rakyat negeri ini mendulang emas secara sah sebagaimana diumumkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Isnin.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, syarat itu bukan bertujuan menyusahkan rakyat sebaliknya untuk menjaga keselamatan mereka yang menjalankan aktiviti tersebut serta alam sekitar.
"Saya sudah minta pegawai untuk melihat perkara tersebut daripada pelbagai sudut termasuk undang-undang.
"Ini merupakan salah satu hasrat kita untuk melihat rakyat mendulang emas dengan cara yang sah," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Selasa.
Mohamed Fadzli berkata, pada masa sama kerajaan negeri juga mahu memberi ruang kepada rakyat untuk memperoleh rezeki tambahan.
Katanya, antara lokasi yang mempunyai sumber mineral itu ialah Jeli, Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah.
Beliau berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan lokasi untuk memberikan kebenaran secara sah ke atas kawasan yang telah dijadikan penduduk sebagai lokasi mereka mendulang emas.
Sebelum itu, Kerajaan Kelantan membenarkan rakyat negeri ini untuk mengusahakan perlombongan emas secara sah melalui kaedah mendulang.
Mohamed Fadzli membuat pengumuman itu ketika menggulung perbahasan belanjawan negeri di Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim pada Isnin.
Kerajaan negeri akan mengeluarkan lesen khas kepada penduduk tempatan bagi membolehkan aktiviti mendulang dijalankan di atas tanah kerajaan dengan syarat-syarat tertentu bagi tujuan keselamatan, kawalan alam sekitar dan rekod rasmi perlombongan.
Katanya, mereka ingin rakyat sendiri mendapat manfaat langsung daripada khazanah negeri boleh mendulang asalkan tidak menceroboh tanah syarikat atau kawasan yang sudah diberi hak kepada pihak lain.
Ringkasan AI
- Kelantan sedang merangka draf syarat untuk mendulang emas secara sah
- Syarat draf bertujuan menjaga keselamatan pendulang dan alam sekitar
- Rakyat diberi peluang mendulang emas sebagai rezeki tambahan
- Lokasi seperti Jeli, Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah mempunyai sumber mineral
- Kerajaan negeri akan mengeluarkan lesen khas untuk aktiviti mendulang dengan syarat tertentu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

