Pulau Pinang sedia berdepan Kedah di mahkamah

GEORGE TOWN - "Jumpa di mahkamah." Demikian reaksi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow selepas diminta mengulas mengenai tindakan Kedah yang memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan dan hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.
Kon Yeow berkata, jawapannya tetap sama seperti yang pernah dikeluarkan tiga tahun lalu berhubung isu berkenaan.
"Saya ulang jawapan tiga tahun lalu. Jumpa di mahkamah, itu sahaja," katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Rabu.
Tahun lalu, Kon Yeow menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya membuktikan dakwaannya bahawa Pulau Pinang milik Kedah di mahkamah.
Gesaan itu susulan Muhammad Sanusi dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah mendakwa bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan negeri itu boleh 'mengambil semula' Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang juga akan merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri berhubung isu yang sudah berlarutan selama tiga tahun itu.
"Setakat ini, kita belum menerima sebarang petisyen daripada pihak sana. Bagaimanapun jika ada, perkara-perkara seperti ini yang berkaitan dengan undang-undang, perkara pertama yang akan kerajaan negeri buat adalah merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri.
"Sekiranya perlu mendapatkan khidmat peguam tambahan, keputusan itu akan dibuat berdasarkan pandangan dan nasihat beliau. Semua perkara ini akan dibincangkan di Pejabat Undang-Undang Negeri," jelasnya.
Terdahulu, Muhammad Sanusi memaklumkan negeri itu dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu berkenaan.
Muhammad Sanusi berkata, langkah itu susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelaskan secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan.
Tambahnya, kerajaan Kedah sudah melantik pasukan penyelidik terdiri daripada pakar sejarah dan perundangan untuk menjalankan kajian komprehensif mengenai perkara berkenaan.
Jelas Muhammad Sanusi, ia termasuk melaksanakan analisis mendalam, penyediaan dokumen serta memulakan proses tindakan perundangan di mahkamah.
Pasukan berkenaan telah menyiapkan kajian dan laporan akhir mereka telah dibentangkan kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri serta ahli Parlimen yang berkaitan pada 15 April lalu.
Ringkasan AI
- Muhammad Sanusi mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan boleh diambil semula oleh negeri tersebut
- Kerajaan Pulau Pinang akan merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk isu yang berlarutan selama tiga tahun ini
- Kerajaan Kedah melantik pasukan penyelidik untuk menjalankan kajian komprehensif termasuk analisis mendalam dan memulakan proses tindakan perundangan di mahkamah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

