352,800 rokok seludup ditemui dalam Vellfire ditinggal tepi jalan

Hasbollah (tengah) ketika sidang akhbar di Pejabat Kastam Kemaman pada Ahad.
Hasbollah (tengah) ketika sidang akhbar di Pejabat Kastam Kemaman pada Ahad.
A
A
A

KEMAMAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu menggagalkan cubaan menyembunyikan 352,800 batang rokok seludup yang disimpan dalam kenderaan mewah di tepi jalan Nyior Mawar di Kampung Dusun Nyior di sini.

Pengarah Kastam Terengganu, Hasbollah Din berkata, kegiatan itu terbongkar hasil risikan pasukan Unit Marin, Cawangan Penguatkuasaan Kemaman dalam Ops Macan Legit 2 pada 6 Ogos lalu.

Menurutnya, pasukan itu melakukan intipan selama 40 minit terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang ditinggalkan di lokasi berkenaan.

"Pasukan berkenaan menjalankan pemantauan sebelum melakukan serbuan ke atas kenderaan itu selepas mendapati tiada sebarang pergerakan.

"Hasil pemeriksaan menemukan 352,800 batang rokok putih pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam kenderaan mewah itu dengan anggaran nilai RM78,528, manakala jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan RM240,700.80," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Kastam di sini pada Ahad.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM319,228.80 dan kenderaan bersama muatannya telah disita untuk siasatan lanjut.

Hasbollah berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi menyimpan rokok seludup dari luar Terengganu dalam kenderaan mewah bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti penyeludupan yang boleh merugikan hasil negara serta mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat.

"Pihak JKDM memberi jaminan bahawa setiap identiti pemberi maklumat dirahsiakan," katanya.

Ringkasan AI

  • Kastam Diraja Malaysia Terengganu menggagalkan cubaan menyeludup 352,800 batang rokok
  • Ops Macan Legit 2 hasilkan rampasan rokok berjumlah RM319,228.80
  • Rokok seludup ditemui dalam Toyota Vellfire di Kampung Dusun Nyior, Kemaman
  • Sindiket gunakan kenderaan mewah simpan rokok dari luar Terengganu
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!