Pulau Pinang negeri berdaulat, kemajuan perlu seiring nilai akhlak

SEBERANG JAYA - Pulau Pinang kekal sebagai negeri berdaulat yang diiktiraf di bawah Perlembagaan Persekutuan 1957 serta terus memainkan peranan penting dalam arus pembangunan negara sejak kemerdekaan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, kedaulatan negeri bukan sekadar termaktub dalam undang-undang, tetapi turut terserlah melalui sumbangan negeri ini terhadap kemajuan ekonomi, sosial dan pendidikan negara.
Menurutnya, selaras dengan gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembangunan fizikal mesti diimbangi dengan kemajuan nilai insan.
"Aspek akhlak dan adab menjadi benteng kemajuan supaya kejayaan negeri dan negara ini berakar pada keperibadian yang mulia," katanya ketika berucap pada Konvensyen Kenegaraan Madani Peringkat Pulau Pinang di Dewan Al-Ansar, Masjid Al-Muhajirin, Seberang Jaya pada Selasa.
Mohamad berkata, konvensyen anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) itu bertujuan membina kesedaran kenegaraan dalam diri generasi muda.
Jelasnya, ia membantu pelajar memahami sejarah, identiti serta tanggungjawab terhadap negeri dan tanah air.
Program itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Al-Hady Centre Pulau Pinang.
Selain konvensyen tersebut, katanya, kerajaan negeri turut memperkukuh pembangunan sahsiah anak muda melalui Program Pembangunan Sahsiah Belia Madani Pulau Pinang, yang menyasarkan pelajar Tingkatan Empat bagi melahirkan generasi berilmu, beradab dan berakhlak.
Program itu juga seiring dengan Teras Pembangunan Anak Muda Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030).
Dalam pada itu, Dr Mohamad turut mengimbau beberapa pelancaran projek untuk kesejahteraan rakyat negeri ini pada Sabtu lalu, antaranya Projek Penyuraian Trafik Juru -Sungai Dua, Masjid Madani Permatang Pauh, Pembangunan Rumah Persaraan Mandiri Warga Emas MAINPP-KWAP dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Penang Sentral.
"Kita tidak hanya mahu membina negeri yang maju, tetapi juga insan yang penuh nilai peradaban mulia, kerana kemajuan tanpa adab hanyalah kemunduran dalam bentuk lain," katanya lagi.
Ringkasan AI
- Pulau Pinang kekal sebagai negeri berdaulat diiktiraf di bawah Perlembagaan Persekutuan 1957
- Sumbangan negeri terhadap kemajuan ekonomi, sosial dan pendidikan negara terserlah
- Gagasan Malaysia Madani menekankan pembangunan fizikal diimbangi dengan kemajuan nilai insan
- Konvensyen Kenegaraan Madani bertujuan membina kesedaran kenegaraan dalam diri generasi muda
- Pelancaran projek demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang seperti Projek Penyuraian Trafik dan Masjid Madani Permatang Pauh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

