X

Kindly register in order to view this article
!

'Rakyat perlu bersedia hadapi sebarang kemungkinan'

GAMBAR HIASAN- FOTO: BERNAMA
A
A

KUALA TERENGGANU - Rakyat perlu bersedia daripada pelbagai aspek susulan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ini kerana wabak koronavirus (Covid-19) tidak diketahui bila akan pulih dan jika ia berlarutan, semestinya akan menjejaskan kelangsungan hidup rakyat.

"'Food security' atau keselamatan makanan merupakan aspek utama dalam kelangsungan hidup di mana keperluan untuk mendapatkan makanan yang mencukupi, selamat dan bernutrisi.

"Apa yang pasti, rakyat perlu bersedia dengan segala kemungkinan dan perlu terus dibantu oleh kerajaan dan pihak korporat dengan pelbagai inisiatif yang meringankan beban," katanya.

Jelas Dr Najmil, Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersama Kementerian Pertanian dan Asas Tani boleh mendidik rakyat dalam mengisi tempoh PKP dengan memfokuskan tanaman hidroponik dalam membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran makanan sendiri.

Tanaman hidroponik katanya, adalah contoh ideal untuk semua golongan termasuklah di bandar ataupun di luar bandar kerana boleh dilakukan sama ada di belakang rumah, di dapur atau di halaman rumah.

"Dengan bantuan serta bimbingan pihak kementerian, agensi-agensi kerajaan dan pihak korporat, saya percaya kita akan dapat meningkatkan persediaan rakyat dalam mendepani apa-apa jua kemungkinan dan seterusnya melindungi kelangsungan hidup rakyat," katanya.