Air masin 'bunuh' ikan, penternak rugi RM50,000

Antara lambakan bangkai ikan di 18 sangkar milik Eh Thom selepas didakwa berpunca air masin daripada pintu air di Dalam Rhu yang tidak ditutup.
Antara lambakan bangkai ikan di 18 sangkar milik Eh Thom selepas didakwa berpunca air masin daripada pintu air di Dalam Rhu yang tidak ditutup.
A
A
A

TUMPAT - Limpahan air masin yang masuk ke kawasan sangkar di tali air Kampung Terbak, Kelaboran di sini menyebabkan seorang penternak kerugian lebih RM50,000.

Kejadian pada malam Isnin itu didakwa berpunca daripada pintu air di Dalam Rhu tidak ditutup seterusnya menyebabkan air laut pasang masuk ke kawasan yang menempatkan 18 sangkar milik Eh Thom, 52.

Menurut Eh Thom, keadaan itu menyebabkan kesemua ikan jenis keli dan talapia yang dipelihara mati terapung.

“Kesemua ikan yang mati itu sudah hampir matang dan sedia untuk dijual kepada pelanggan serta pemborong.

"Setiap dua minggu saya akan masukkan benih baharu, tapi kali ini semuanya musnah," katanya.

Menurut beliau, sepanjang lima tahun mengusahakan ternakan di kawasan tersebut, kejadian yang berlaku itu merupakan paling buruk dalam sejarah.

Ujarnya, lokasi sangkarnya yang terletak berhampiran pintu air menyebabkan ternakannya paling terjejas apabila air laut melimpah masuk.

Eh Thom memberitahu, limpahan air masin itu turut menjejaskan beberapa petani berhampiran yang menanam sayur-sayuran di kawasan sama apabila tanaman mereka turut rosak.

Kejadian tersebut tular di media sosial pada Rabu selepas seorang pengguna Facebook memuat naik gambar ikan-ikan mati di sangkar berkenaan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi warganet yang bersimpati dengan nasib penternak terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Limpahan air masin masuk ke sangkar ikan di Kampung Terbak, Tumpat menyebabkan penternak kerugian lebih RM50,000
  • Kejadian berpunca daripada pintu air tidak ditutup menyebabkan air laut pasang masuk ke kawasan ternakan ikan keli dan talapia
  • Ini merupakan kejadian terburuk dalam lima tahun usaha ternakan Eh Thom
  • Limpahan air masin turut menjejaskan kebun sayur-sayuran milik petani berhampiran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!