X

Kindly register in order to view this article
!

UMT hasilkan cecair pembasmi kuman

Penyelidik UMT menunjukkan cecair pembasmi kuman yang dihasilkan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Peka dengan cabaran semasa dalam mendepani wabak koronavirus (Covid-19) terutamanya masalah kekurangan cecair pembasmi kuman di pasaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil langkah menghasilkan cecair pembasmi kuman sendiri.

Ia dihasilkan melalui Institut Bioteknologi Marin (IMB) oleh sekumpulan penyelidik UMT diketuai Profesor Dr Yeong Yik Sung dan Profesor Dr Fadzilah @ Adibah Abdul Majid yang diberi kepercayaan untuk mencipta formula bagi menghasilkan cecair pembasmi kuman keluaran UMT.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, cecair pembasmi kuman itu adalah untuk kegunaan warga UMT dan mempunyai bahan aktif yang berasaskan alkohol sebanyak 70 peratus.

"Kepekatan alkohol diguna meluas dalam banyak produk sanitasi kerana kemampuannya membunuh pelbagai jenis kuman seperti bakteria dan virus yang menyebabkan penyakit.

“Ramuan tambahan seperti gel aloe vera digunakan bagi tujuan 'moisturising' dan minyak essential berasaskan tea tree pula sebagai pengharum di samping kesan antikuman.

“Cara penyediaan cecair pembasmi kuman itu adalah mengikut cadangan World Health Organization (WHO) dengan sedikit modifikasi dari segi komposisi bahan yang digunakan," katanya.

Sebahagian daripada cecair pembasmi kuman yang telah siap untuk kegunaan warga UMT
Sebahagian daripada cecair pembasmi kuman yang telah siap untuk kegunaan warga UMT

Sementara itu, Pengarah IMB UMT, Profesor Dr Yeong Yik Sung berkata, pasukannya mengambil tindakan segera untuk menghasilkan cecair pembasmi kuman setelah menyedari keperluannya.

Sepanjang tempoh itu katanya, mereka berdepan dengan kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah untuk penghasilan cecair pembasmi kuman dan botol kosong kerana kedai-kedai kebanyakannya ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun kami berjaya mengumpul bahan mentah ini dari semua Fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTj) di UMT yang mempunyai bahan tersebut.

"Hasilnya, kami berjaya menghasilkan 2,000 botol (50ml) pada fasa pertama produksi produk tersebut untuk warga UMT," katanya.

Jelasnya, produk itu bukan untuk dijual buat masa sekarang dan hanya dibekalkan kepada warga UMT dan turut bercadang untuk mengagihkannya kepada masyarakat sekitar UMT setelah bahan mencukupi.