JKDM Kelantan rampas 80.5 tan beras seludup

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 80.5 tan beras seludup selepas menahan dua treler dalam serbuan berasingan di Kuala Krai.
Pengarah JKDM negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan pertama di Kampung Berdang, Sungai Sam pada 8 September lalu itu pihaknya berjaya merampas 41 tan beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
"Serbuan kedua pada 12 Oktober lalu itu, JKDM Kelantan berjaya merampas 39.5 tan beras di Kampung Lata Rek," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM684,290.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan lori dan kenderaan penumpang untuk mengangkut beras seludup dari pangkalan haram.
"Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Menurut beliau, JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
Ujarnya, JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan.
Ringkasan AI
- JKDM Kelantan merampas 80.5 tan beras seludup dalam serbuan berasingan di Kuala Krai
- Serbuan pertama berlaku pada 8 September di Kampung Berdang, Sungai Sam dengan 41 tan beras disita
- Serbuan kedua pada 12 Oktober di Kampung Lata Rek, 39.5 tan beras dirampas
- Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dan kenderaan adalah RM684,290
- Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

