Pukul isteri gara-gara kerap muat naik gambar di Facebook

Suspek ditahan untuk siasatan lanjut. Foto Tribun Bekasi.
Suspek ditahan untuk siasatan lanjut. Foto Tribun Bekasi.
A
A
A

SUMATERA SELATAN – Seorang suami tergamak memukul isterinya hingga cedera akibat cemburu buta selepas wanita itu didakwa terlalu kerap memuat naik gambar di Facebook dalam kejadian di Ogan Ilir, Indonesia.

Suspek berusia 53 itu ditahan pihak polis selepas dipercayai menyerang isterinya, 51, dalam kejadian di rumah mereka di Kecamatan Pemulutan Selatan pada Khamis lalu (30 Oktober 2025).

Menurut laporan Tribun Bekasi, insiden keganasan rumah tangga (KDRT) itu tular selepas penduduk setempat berkongsi kisah mangsa di media sosial.

Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polis Ogan Ilir, AKP Mukhlis berkata, kejadian berpunca apabila suspek berang dengan tindakan isterinya yang sering memuat naik fotonya di Facebook.

"Suspek marah kerana mangsa banyak memuat naik foto di Facebook dan dianggap terlalu narsis,” katanya seperti dipetik Tribun Bekasi, pada Isnin.

Jelas beliau, ketika kejadian mangsa sedang duduk di bilik sambil memegang telefon bimbit sebelum suspek datang meminta peranti berkenaan.

Namun, mangsa enggan menyerahkannya dan berlaku pergelutan antara pasangan itu sehingga suspek memukul isterinya menyebabkan muka mangsa lebam dan benjol.

Jeritan mangsa yang meminta pertolongan turut didengari jiran sebelum mereka datang membantu dan membawa mangsa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Polis yang menerima laporan kemudiannya bertindak menahan suspek di rumahnya pada malam Sabtu, 1 November lalu tanpa sebarang tentangan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,” jelas Mukhlis.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!