Wanita muat naik sijil nikah palsu dengan kerabat diraja diperintah jalani rawatan psikiatri

Persana Avril diarah menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Perak.
Persana Avril diarah menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Perak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang tukang urut wanita diperintahkan supaya menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Perak selepas didakwa memuat naik hantaran video dan gambar sijil pernikahan palsu kononnya membabitkan beliau dengan seorang kerabat diraja, Februari lepas.

Hakim Norma Ismail memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ravendejit Kaur mendapatkan laporan kesihatan mental tertuduh, Persana Avril Sollunda, 43, sebelum prosiding diteruskan.

Peguam, Mehgalaa Rajendran yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan tersebut.

"Mahkamah membenarkan tertuduh mendapatkan rawatan dan laporan penuh berkaitan kesihatan mentalnya selama sebulan bermula hari ini,” kata Norma yang turut menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan kes.

Persana Avril didakwa membuat dan memulakan penghantaran gambar dalam satu video palsu di aplikasi TikTok melalui akaun "king.charles.ratu” yang memaparkan sijil pernikahan palsu antara seorang kerabat diraja dan Crown Princess Ratu Shana dengan niat menyakiti hati orang lain pada 25 Februari.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di sini pada 10 pagi 26 Februari.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!