Kanak-kanak hilang sistem pencernaan akibat silap bedah

Xiaoye terpaksa hidup bergantung kepada tiub intravena selepas keseluruhan sistem pencernaannya hampir dibuang. Foto Agensi
Xiaoye terpaksa hidup bergantung kepada tiub intravena selepas keseluruhan sistem pencernaannya hampir dibuang. Foto Agensi
A
A
A

SHANDONG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di timur China kini terpaksa hidup bergantung kepada tiub intravena (IV) selepas keseluruhan sistem pencernaannya hampir dibuang akibat kesilapan pembedahan yang sepatutnya bertujuan mengeluarkan ketumbuhan di bahagian perut.

Mangsa, dikenali sebagai Xiaoye, dimasukkan ke Hospital Rakyat Daerah Chengwu di wilayah Shandong pada 26 Oktober 2023 ketika berusia 10 tahun, selepas mengadu sakit teruk apabila perutnya terlanggar rakan sekelas di padang sekolah.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat ketulan di dalam perutnya dan doktor memutuskan untuk menjalankan pembedahan laparoskopi iaitu kaedah pembedahan invasif minimum.

Namun, prosedur yang dijangka ringkas itu bertukar tragedi apabila pembedahan berlarutan sehingga 14 jam dan hampir semua organ pencernaan kanak-kanak itu dibuang.

“Itu tempoh menunggu paling menyeksakan dalam hidup saya,” kata ibunya, Yue, kepada Red Star News.

Menurut Yue, doktor beberapa kali keluar dari bilik pembedahan meminta mereka menandatangani borang persetujuan tambahan dengan alasan berlaku pendarahan serius dan keperluan pembedahan perut sepenuhnya.

“Mereka beritahu ada ketumbuhan besar pada pankreas dan perlu buang pankreas serta duodenum.

"Kemudian mereka juga buang sebahagian usus kecil, pundi hempedu dan dua pertiga perut anak saya. Hanya kira-kira 50 sentimeter kolon ditinggalkan,” katanya.

Akibatnya, Xiaoye kini kehilangan berat badan secara mendadak dan hanya bergantung kepada nutrisi intravena untuk terus hidup.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan forensik Disember tahun lalu, satu institusi bebas mengesahkan hospital berkenaan melakukan kesilapan besar dalam rawatan yang secara langsung menyebabkan kerosakan serius kepada pesakit.

Siasatan oleh biro kesihatan daerah Chengwu turut mendapati berlaku kecuaian prosedur dan kegagalan rundingan antara jabatan sebelum pembedahan dijalankan.

Yue berkata, hospital berkenaan hanya membayar pampasan sebanyak 200,000 yuan (RM132,000) iaitu jumlah yang jauh lebih rendah daripada kos rawatan berterusan anaknya.

“Anak saya kini murung dan jarang bercakap. Dia hanya baring di katil hospital seolah-olah sekadar meneruskan hidup tanpa erti,” luah Yue.

Selama dua tahun, Yue membawa anaknya ke beberapa bandar lain di China untuk mendapatkan rawatan pakar.

Namun, doktor pakar memaklumkan satu-satunya harapan ialah melalui pemindahan organ, namun peluang mencari penderma yang sesuai amat tipis dan kos rawatan terlalu tinggi.

“Kami cuba lakukan apa sahaja untuk selamatkan anak kami. Saya hanya mahu tahu kebenaran melalui rakaman pembedahan itu,” katanya dengan nada sebak.

“Anak saya selalu bertanya, ‘Ibu, saya tak boleh makan atau minum... apa lagi makna hidup?’” ujar Yue. - Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di China terpaksa bergantung kepada tiub IV setelah sistem pencernaannya hampir dibuang keseluruhannya akibat kesilapan pembedahan
  • Kanak-kanak tersebut dimasukkan ke hospital pada 26 Oktober 2023 kerana sakit perut yang teruk setelah terlanggar rakan sekelas
  • Pembedahan yang sepatutnya invasif minimum bertukar menjadi tragedi, membuang hampir semua organ pencernaannya
  • Siasatan mendapati hospital melakukan kesilapan besar dalam rawatan yang menyebabkan kerosakan serius
  • Keluarga hanya menerima pampasan 200,000 yuan, jumlah yang jauh lebih rendah dari kos rawatan berterusan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!