[VIDEO] Jurugambar bebas didakwa raba punggung kanak-kanak
MELAKA - Seorang jurugambar bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Mukhairi Zakaria, 38, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara meraba punggung kanak-kanak tersebut di dalam lif Tower 3, Apartment PR1MA Pokok Mangga, Melaka Tengah.
Kejadian berlaku sekitar jam 1 petang pada 31 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan bahawa tertuduh tidak boleh mendekati mangsa atau saksi, perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu, serta menyerahkan pasport kepada pihak berkuasa, jika ada.
Sementara itu, Peguam Mohd Farid Abdul Aziz yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan ia terlalu tinggi memandangkan kes masih di peringkat tuduhan dan belum dibuktikan bersalah.
Menurut beliau, anak guamnya bekerja sebagai jurugambar bebas dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM2,000 sebulan, bergantung kepada tugasan.
Manakala abang tertuduh yang bertindak sebagai penjamin bekerja sebagai kakitangan bank dan mempunyai wang sekitar RM8,000 hingga RM10,000 bagi menjamin tertuduh.
“Jika jumlah jaminan terlalu tinggi, ia akan membebankan mereka kerana kedua-duanya turut menanggung ibu yang telah berusia.
"Anak guam juga memberi jaminan akan mematuhi semua syarat tambahan ditetapkan,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Disember ini.
Ringkasan AI
- Seorang jurugambar bebas di Melaka didakwa atas pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak berumur sembilan tahun
- Kejadian itu berlaku di dalam lif di Apartment PR1MA Pokok Mangga, Melaka Tengah pada 31 Oktober
- Tertuduh berpotensi menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan
- Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa atau saksi dan harus melapor diri di balai polis setiap dua minggu
- Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 17 Disember
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

