Kanak-kanak maut tercekik teh susu boba

BEIJING - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Zhejiang, China, maut selepas tercekik ketika minum teh susu boba sambil bermain di sebuah pusat beli-belah.
Kejadian berlaku pada 19 Oktober lalu dan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kanak-kanak itu rebah kurang seminit selepas meneguk minuman berkenaan sebelum melompat di atas trampolin.
Menurut bapanya yang dikenali sebagai Li, ibu mangsa cuba melakukan bantuan pernafasan tetapi gagal, dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di hospital akibat saluran pernafasan tersumbat bebola boba berukuran 10 milimeter.
Li menuntut tanggungjawab daripada kedai minuman dan pengurusan pusat beli-belah yang didakwa tidak memberi amaran jelas bahawa bebola tapioka tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil, selain membenarkan makanan dibawa masuk ke kawasan permainan.
Bagaimanapun, pihak kedai mendakwa telah memaklumkan melalui platform pesanan dalam talian bahawa minuman berkenaan tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah tiga tahun.
Walaupun insiden itu kini dalam proses rundingan, netizen di media sosial kebanyakannya menyalahkan ibu bapa dan mempersoalkan tindakan memberikan minuman berisiko ketika anak sedang bermain.
Pakar kesihatan turut memberi amaran bahawa boba perlu dikunyah perlahan kerana boleh menyebabkan tercekik walaupun dalam kalangan orang dewasa, apatah lagi kanak-kanak. - Agensi
Ringkasan AI
- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Zhejiang, China, maut selepas tercekik ketika minum teh susu boba
- Kejadian berlaku pada 19 Oktober dan dirakam oleh kamera litar tertutup
- Ibu mangsa cuba melakukan bantuan pernafasan tetapi gagal
- Bapanya menuntut tanggungjawab dari kedai minuman dan pengurusan pusat beli-belah
- Pihak kedai mendakwa telah memberi amaran minuman tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah tiga tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
