40 peratus hasil Sabah: Ewon anggap kenyataan AGC bercanggah, mengelirukan

KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menyifatkan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah sebagai bercanggah dan mengelirukan.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, kenyataan AGC yang menyebut ‘tiada rayuan’ tetapi pada masa sama menyatakan akan ‘merayu kecacatan dalam alasan penghakiman’ menimbulkan persoalan terhadap ketelusan komitmen kerajaan Persekutuan.
“Selepas Mesyuarat Khas Kabinet Persekutuan hari ini, AGC mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Isu 40 Peratus Hasil: Tiada Rayuan, Rundingan Dimulakan Segera’, namun kenyataan sama turut menyebut akan ‘merayu kecacatan dalam Alasan Penghakiman’.
“‘An appeal is an appeal’. Tiada rayuan tetapi akan merayu Alasan Penghakiman, itu tetap satu rayuan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa kenyataan tersebut menunjukkan kerajaan Persekutuan masih berhasrat untuk memfailkan rayuan secara separa yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap komitmen kerajaan untuk menghormati hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ewon berkata, beliau dan UPKO kekal berpendirian bahawa tanggungjawab kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan dan hak 40 peratus Sabah adalah dua perkara yang berbeza.
“Federal List adalah perkara dasar manakala hak 40 peratus Sabah adalah isu perundangan istimewa untuk negeri ini. Beberapa negeri lain turut memiliki hak istimewa dalam Perlembagaan yang tidak diberikan kepada Sabah.”
Menurutnya, rakyat Sabah memerlukan pembayaran semula hak hasil tersebut bagi membiayai pembangunan infrastruktur, kemudahan awam, pembasmian kemiskinan serta program ekonomi dan keusahawanan di negeri itu.
“Sepanjang hampir tiga tahun dalam Kabinet Persekutuan, setiap kali isu 40 peratus dibincangkan, saya nyatakan pendirian. Namun jawapan balasnya masih sama, sebagaimana yang saya dengar di Tamu Jalan Gaya.”
Beliau turut menyatakan bahawa keadaan menjadi janggal untuk terus berada dalam Kabinet selepas penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, yang merakam pendirian AGC dalam semakan kehakiman difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).
“Pendirian AGC dalam prosiding itu menyegerakan perletakan jawatan saya. Kenyataan AGC hari ini hanya mengukuhkan sebab saya meletak jawatan seperti yang saya sebutkan dalam ucapan di Konvensyen UPKO Penampang.”
Ewon turut menjangka bahawa kerajaan Persekutuan tetap akan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan, dan memberi amaran bahawa langkah itu boleh menjejaskan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi.
“Alasan dan dapatan Mahkamah Tinggi saling berkait. Jika Mahkamah Rayuan membatalkan sebahagian dapatan tersebut, keputusan mengiktiraf hak 40 peratus itu turut boleh terbatal,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendirian tegas UPKO turut disokong dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti itu, yang menyimpulkan bahawa hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami denyut nadi dan impian masa depan negeri ini, sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sudah tiba masanya rakyat Sabah memilih parti-parti tempatan yang berprinsip untuk menerajui Kerajaan Sabah dan memperjuangkan agenda Sabah First secara berkesan.
“Saya mengimpikan sebuah kerajaan negeri Sabah yang betul-betul dianggotai hanya oleh parti-parti tempatan, seperti semasa awal kemerdekaannya pada tahun 1963,” katanya.
Ringkasan AI
- Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menyatakan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah sebagai bercanggah dan mengelirukan
- Ewon dan UPKO berpendirian tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan hak 40 peratus Sabah merupakan dua perkara berbeza dan penting untuk pembangunan infrastruktur Sabah
- Rakyat Sabah memerlukan pembayaran semula hak hasil tersebut untuk pembangunan negeri
- Ewon menegaskan keperluan untuk parti-parti tempatan memimpin Sabah demi memperjuangkan agenda Sabah First
- Beliau menyatakan pendiriannya semasa dalam Kabinet Persekutuan dan menyebut tentang keputusan meletak jawatan selepas pendirian AGC dalam semakan kehakiman difailkan oleh Sabah Law Society
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
