Pemotong rumput maut dilanggar kereta elak haiwan melintas

KOTA TINGGI - Seorang wanita warga Myanmar maut dilanggar kereta yang cuba mengelak haiwan melintas di Kilometer 52.5 Jalan Rengit-Kota Tinggi, di sini pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, kejadian dipercayai berlaku pada jam 1.37 petang ketika mangsa, Manir Ahmed Laal Miya, 30, sedang bekerja memotong rumput di bahu jalan berkenaan.
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kereta tersebut, seorang lelaki berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Proton Wira cuba mengelak haiwan melintas hingga melanggar mangsa.
"Akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu kereta terbabit pula mengalami patah pergelangan tangan serta jari dan dirawat di Hospital Kota Tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Yusof, mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
"Ini termasuk hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh hingga lima tahun," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang wanita warga Myanmar maut dilanggar kereta di Kilometer 52.5 Jalan Rengit-Kota
- Kemalangan berlaku ketika mangsa memotong rumput di bahu jalan
- Kereta jenis Proton Wira cuba mengelak haiwan melintas hingga melanggar mangsa
- Mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian
- Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pelaku boleh dihukum penjara dan denda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

