Anggota polis dilanggar kereta dipandu penjenayah

KLANG - Seorang anggota polis cedera dilanggar kenderaan dipandu suspek di sebuah stesen minyak di Persiaran Raja Muda Musa di sini ketika hendak membuat tangkapan berkait kes samun pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang selepas anggota polis terserempak sebuah Toyota Vios berwarna putih disyaki terlibat kes samun di Subang Jaya.
Menurutnya, apabila tangkapan hendak dilakukan, suspek bertindak agresif denga menolak anggota polis dan melarikan diri menaiki kereta.
"Ketika kejadian, kereta suspek telah melanggar dan hampir menggilis kaki anggota polis terbabit serta melanggar kereta digunakan pasukan polis terbabit sebelum memandu melawan arus masuk ke jalan besar menghala Shah Alam.
"Suspek kemudian telah meninggalkan keretanya di tepi jalan Persiaran Sultan Ibrahim sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, anggota terbabit telah mengalami kecederaan.
Tegasnya, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 12.45 tengah malam Khamis, suspek warga tempatan berusia 33 tahun telah diberkas di sekitar Bandar Bukit Tinggi, Klang.
"Suspek yang mempunyai 20 rekod jenayah dan lima rekod dadah lampau kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh," ujarnya.
Tambahnya, siasatan lanjut akan diteruskan berkaitan penglibatan jenayah suspek terbabit.
Sebelum itu, tular rakaman video berdurasi 1 minit 17 saat yang dirakamkan orang awam yang berada di lokasi kejadian yang memaparkan kenderaan suspek yang melarikan diri.
Dalam video berkenaan, Toyota Vios putih dipercayai dipandu suspek melarikan diri selepas kejadian itu dan meninggalkan mangsa dalam keadaan terbaring.
Video turut memaparkan orang awam cuba membantu dan bertanyakan keadaan mangsa.
Ringkasan AI
- Anggota polis cedera dilanggar kenderaan suspek di stesen minyak Klang ketika cuba buat tangkapan
- Suspek bertindak agresif dan melarikan diri dengan keretanya selepas cuba ditangkap
- Kereta suspek melanggar anggota polis dan kereta polis sebelum melarikan diri ke arah Shah Alam
- Suspek berusia 33 tahun diberkas di Bandar Bukit Tinggi dengan 20 rekod jenayah dan lima rekod dadah
- Suspek disiasat di bawah Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan cubaan bunuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
