DUN Kelantan luluskan RUU Islam 2025 ganti Enakmen Keluarga Islam 2002

KOTA BHARU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Selasa meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Islam 2025.
RUU itu diluluskan di hadapan Timbalan Speaker DUN, Datuk Mohamed Fared Mohamed Zawawi selepas dibacakan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud.
Usul itu mendapat sokongan penuh daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas dibahaskan dan dibacakan kali ketiga.
Mohd Asri memberitahu, RUU Keluarga Islam 2025 yang diluluskan itu bagi menggantikan Enakmen Keluarga Islam 2002 lalu.
"RUU ini turut memperkenalkan hukuman restoratif berbentuk khidmat sosial sebagai ganti denda atau penjara bagi kesalahan tertentu seperti poligami tanpa kebenaran mahkamah dan wali.
"Ia juga merangkumi 178 fasal dalam 11 bahagian dan bertujuan memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya semasa membentangkan RUU Keluarga Islam 2025 semasa Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim di sini pada Selasa.
Ujar ADUN Demit itu, ia melibatkan urusan perkahwinan, perceraian, nafkah, penjagaan anak, pewarisan serta pendaftaran anak susuan bagi menjaga salasilah keturunan umat Islam.
Mohd Asri memberitahu, antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan termasuk kuasa Mahkamah Syariah menentukan jantina dalam kes kecelaruan identiti, tanggungjawab anak menanggung nafkah ibu bapa dan leluhur, serta pemberian nafkah kepada wanita nusyuz, bercerai atau kematian suami.
"Melalui tanggungjawab anak menanggung nafkah ibu bapa dan leluhur, mahkamah boleh memerintahkan anak atau cucu untuk membayar nafkah kepada ibu, bapa, datuk, nenek, moyang dan seterusnya.
"RUU ini turut memberikan penekanan kepada penjagaan ibu bapa oleh anak dan perwaris diwujudkan bagi menyelesaikan isu pengabaian ibu bapa serta warga emas. Pada masa sama waris pusaka turut bertanggungjawab menjaga warga emas yang tidak mempunyai anak," katanya.
Menurutnya, terlebih dahulu Enakmen Keluarga Islam 2002 yang sedang diguna pakai telah diwartakan pada 19 Disember 2023 dan mula berkuat kuasa 1 Oktober 2023.
Katanya, selama tempoh 23 tahun ia tidak pernah dibuat pindaan sehingga kini.
"Maka RUU Keluarga Islam 2025 ini adalah bagi menggantikan Enakmen Keluarga Islam 2002 sesuai dengan perkembangan semasa," ujar beliau.
Tambahnya, RUU ini selaras dengan Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Kelantan, Dasar Keluarga Mawaddah Kelantan serta Dasar Kanak-Kanak Fitrah sekali gus memperkukuh visi sebagai negeri berkebajikan berpaksikan Islam.
Ringkasan AI
- Persidangan DUN Kelantan meluluskan RUU Islam 2025
- RUU ini menggantikan Enakmen Keluarga Islam 2002
- Mempromosikan hukuman restoratif untuk kesalahan tertentu
- Mengandungi 178 fasal yang memperkuat bidang kuasa Mahkamah Syariah
- Merangkumi urusan perkahwinan, perceraian, dan penjagaan anak dalam Islam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

