Teruskan operasi atau lesen ditarik balik - MPIC

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) hari ini mengingatkan semua pelesen getah agar beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau berdepan kemungkinan lesen mereka ditarik balik.

Menurutnya, selain memastikan industri getah negara terus beroperasi, ia juga bagi kebaikan semua peringkat daripada pekebun kecil, pemproses, pengilang produk getah sehinggalah pengguna.

“Kegagalan beroperasi akan menyebabkan tindakan terpaksa diambil atas premis terbabit termasuk penarikan semula lesen oleh pihak Lembaga Getah Malaysia,” kata MPIC dalam satu kenyataan media hari ini.

Arahan terbabit akan berkuat kuasa sepanjang tempoh PKP sehingga 14 April 2020 atau pun sehingga makluman baharu oleh pihak kementerian.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kementerian dan LGM menerima aduan mengenai premis pembeli getah yang tidak beroperasi ketika ini walaupun arahan telah dikeluarkan untuk semua premis terbabit dibuka sepanjang tempoh PKP berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: