Cubaan lelaki warga China sorok dadah dalam ruang rahsia bagasi terbongkar

Antara dadah yang ditemui disorokkan suspek dalam bagasi yang dibawa.
Antara dadah yang ditemui disorokkan suspek dalam bagasi yang dibawa.
A
A
A

SEPANG – Tindakan lelaki warga China menyeludup masuk dadah yang disembunyikan dalam ruang rahsia dua bagasi terbongkar selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) LTAKL, Zulkifli Muhammad berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada 28 Oktober lalu.

Beliau berkata, tindakan itu hasil pemeriksaan rapi Bahagian Penguatkuasaan JKDM bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menerusi imbasan terhadap bagasi suspek di Balai Ketibaan Terminal 2.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa bungkusan kecil plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.

"Bungkusan itu dibalut dengan aluminium foil, ditutup papan dan disorokkan di bahagian dalam pelapik kain dua bagasi milik suspek,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, dadah berkenaan dianggarkan seberat 6,884 gram dengan nilai rampasan sebanyak RM344,000.

"Suspek dipercayai cuba membawa masuk dadah tersebut ke negara ini menggunakan modus operandi dengan mewujudkan ruang simpanan rahsia dalam bagasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Dadah jenis ketamin disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, suspek telah dituduh di mahkamah dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B(1)(a) akta sama.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diminta membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM.

"Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Jelasnya, sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam terdekat.

"Pihak kami memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Lelaki warga China ditahan di KLIA kerana menyeludup masuk dadah dalam bagasi
  • Dadah jenis ketamin bernilai RM344,000 disorokkan dalam ruang rahsia dua bagasi
  • Penyeludupan terbongkar menerusi pemeriksaan rapi oleh JKDM dan AKPS
  • Dadah itu disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952
  • Suspek dihadapkan ke mahkamah dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B(1)(a) akta tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!